Kawasan majoriti Melayu berisiko untuk Anwar, kata penganalisis


Penganalisis berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim terdedah dengan risiko jika membuat keputusan bertanding di kawasan majoriti Melayu kerana Pakatan Harapan dilihat tidak menjaga sentimen kaum itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim terdedah kepada risiko jika bertanding di kawasan yang kawasan majoriti pengundi Melayu, menurut firma penyelidik Skydata Centre seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Penganalisisnya, Ainul Adzellie Hasnul berkata selain itu Anwar juga mungkin disabotaj pihak tertentu yang tidak mahu bekas timbalan perdana menteri itu dilantik menjadi perdana menteri.

Ainul menjelaskan, kawasan majoriti Melayu berisiko kerana kerajaan Pakatan Harapan dilihat tidak menjaga sentimen golongan itu apabila banyak isu sensitif timbul melibatkan kaum terbesar itu.

Katanya, lebih baik jika Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi bukan Melayu melebihi 50% seperti Selayang dan Pandan.

“Berdasarkan isu kepentingan Melayu dan Islam seolah-oleh dipinggirkan, agak berisiko jika Anwar bertanding di kawasan Melayu.

“Strategi utama adalah untuk memastikan kemenangan Anwar. Jadi saya lihat kawasan pengundi Cina dan India yang ramai akan menjadi pilihan,” katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar milik Umno itu.

Menurut data Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jumlah pengundi Melayu di kawasan Parlimen Pandan dan Selayang masing-masing adalah sekitar 45% dan 49%.

Kawasan Pandan juga dimenangi isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti lebi 52,500, walaupun pencabar terdekatnya merupakan calon bangsa Cina daripada Barisan Nasional (BN).

Kerusi Parlimen Pandan yang dipegang Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga turut disebut akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

Laporan sama turut memetik kenyataan Naib Presiden PAS, Iskandar Abdul Samad yang berkata parti itu sedang mempersiapkan jenteranya bagi menghadapi menentang Anwar dalam pilihan raya kecil di situ.

“Mesej saya kepada jentera Pandan agar bersiap sedia. Khabar angin bertiup kencang Anwar akan bertanding di sini. PAS bersedia jika berlaku PRK,” kata Iskandar.

Kerusi Pandan itu merupakan antara kawasan Parlimen yang dipertimbangkan untuk Anwar – di bahagian utara, tengah atau selatan tanah air.

Anwar memberitahu media pada bulan lalu bahawa beliau akan menyertai Parlimen seawal Oktober.

Seorang Ahli Parlimen Pulau Pinang, Mansor Othman telahpun menafikan beliau akan mengosongkan kerusi Nibong Tebal. – 11 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen