AHLI Parlimen Selayang William Leong berkata beliau sanggup mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada presiden partinya, Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.
Leong yang mewakili kerusi itu sejak 2008 berkata, beliau rela berbuat demikian kerana berpendapat, ahli Parlimen PKR yang lain tidak akan mengosongkan kerusi mereka.
“Kalau diminta saya sanggup (jadi korban)... Seperti saya kata, 51 ahli Parlimen PKR kalau diminta saya percaya tak ada siapa yqng tidak kena beri laluan kepada Anwar,” katanya.
Bagaimanapun, katanya setakat ini beliau masih belum membincangkan perkara itu dengan Anwar, yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti untuk jawatan presiden semalam.
Beliau bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini ketika mengulas mengenai kerusi yang mungkin ditandingi Anwar.
Bekas presiden PKR yang juga timbalan perdana menteri dan isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan untuk tidak mengosongkan kerusi Parlimen Pandan.
Begitu juga anak mereka, Nurul Izzah Anwar yang enggan meletak jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh, kerusi tradisi Anwar sejak 1982.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh itu merupakan kerusi yang diwakili Anwar sejak 1982.
Wan Azizah pada mulanya mewakili kerusi itu pada 1999 selepas Anwar diheret ke penjara ekoran sabitan kes penyelewengan dan liwat.
Antara tahun 1998 dan 2018, Anwar menghabiskan hampir sedekad dalam penjara.
Apabila Anwar dibebaskan pada 2008, Wan Azizah mengosong kerusi itu untuk membolehkan suaminya itu kembali ke Dewan Rakyat.
Ia diambil alih semula oleh Dr Wan Azizah dalam pilihan raya kecil 2015 apabila Anwar kembali ke penjara.
Ia seterusnya ditandingi anak mereka, Nurul Izzah dalam pilihan raya 9 Mei.
Kini, Anwar perlu dipilih semula sebagai ahli Parlimen sekiranya beliau ingin menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dalam penggal ini. – 6 Ogos, 2018.
Komen