Parti belum putuskan, orang nombor 2 Umno pula gesa jangan tanding PD


UMNO tidak perlu bertanding di Pilihanraya Kecil Port Dickson bagi berpegang dengan prinsip pilihanraya tidak perlu dibuat, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata mendahului keputusan yang akan diumumkan hari ini. 

“Umno menolak sekeras-kerasnya tindakan ‘self centric’ (penting diri) yang mendasari keputusan mengadakan PRK Port Dickson kali ini.

“Umno berasa sangat penting untuk menegaskan prinsip dan pendiriannya untuk tidak berkompromi dengan tindakan mengosongkan kerusi secara sengaja semata-mata demi menjayakan cita-cita politik seseorang individu,” kata Mohamad dalam sebuah kenyataan.

Beliau menyenaraikan sebab pendiriannya itu, termasuklah Umno seharusnya menumpukan perhatian bagi menyegarkan kembali parti selepas kalah dalam PRU14 Mei lalu.

Umno juga harus membuat analisa mendalam mengenai sokongan terhadap mereka di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, tambahnya lagi.

“Tidak ada agenda yang lebih penting waktu ini, selain dari menjayakan usaha memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan ahli dan rakyat terhadap Umno.

“Melibatkan diri dalam PRK pada waktu ini tidak akan membantu usaha reformasi parti. Malah ia akan mengheret parti ke kancah ‘politiking’ yang menyimpang dari usaha membawa pembaharuan dalam Umno,” kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Beliau berkata analisa mendalam yang beliau cadangkan membolehkan parti itu merancang rancangan strategi jangka masa panjang dan pendek untuk parti.

Mohamad menambah kajian tersebut akan membantu Umno mengurus parti secara efektif peranannya dalam lanskap politik baru dalam negara.

Biro politik parti itu masih bermesyuarat di PWTC ketika ini.

PRK Port Dickson sebelum ini diumumkan berikutan penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

Calon bebas Stevie Chan Keng Leong juga turut bertanding di PRK itu sementara Parti Rakyat Malaysia sebelum ini mengumumkan keinginan parti itu merebut kerusi parlimen tersebut.– 24 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen