Ibu bapa Zayn Rayyan akan didakwa hari ini, kata peguam


Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan pada 31 Mei dan dikenakan perintah reman selama 13 hari yang berakhir hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Jun, 2024.

IBU bapa kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, menurut peguam mereka.

Peguam Fahmi Abd Moin berkata ibu bapa mereka akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini untuk didakwa.

Pasangan berusia 29 tahun itu telah di bawah perintah reman 13 hari (yang berakhir hari ini) bagi membantu siasatan dakwaan pembunuhan anak mereka.

Petugas media telah menunggu di kompleks mahkamah seawal jam 7.30 pagi dan akses ke mahkamah telah dihadkan.

Ahli keluarga Zayn Rayyan turut hadir.

Ibu bapanya ditahan pada 31 Mei manakala polis semalam turut menahan datuk dan neneknya.

Menurut Ketua Polsi Selangor Hussein Omar, datuk dan neneknya ditahan bagi membantu siasatan. 

6 Disember lalu, mayat Zayn, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam sungai berhampiran rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya. Dia dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan kerana mempertahankan diri di badannya. – 13 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen