POLIS meminta semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada mereka untuk menyiasat secara menyeluruh kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin pada Disember tahun lalu.
Ketua Polis Negara (KPN) Razarudin Husain berkata tiada lagi penahanan selepas ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di Puncak Alam Jumaat lepas, lapor Bernama.
“Mereka (ibu bapa mangsa) direman tujuh hari (mulai Sabtu). Kita perlu beri masa kepada polis Selangor untuk menyiasat,” katanya kepada pemberita di Terengganu hari ini.
Pada 6 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui mati di sebatang sungai berhampiran kediamannya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Selangor.
Zayn Rayyan yang berusia enam tahun dilaporkan hilang pada 5 Disember dan mayatnya ditemui oleh sekumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya. – 2 Jun, 2024.
Komen