Guan Eng, isteri dan Li Koon gagal batalkan kes, perbicaraan diteruskan


Permohonan Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew dan ahli perniagaan Phang Li Koon untuk membatalkan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap mereka ditolak mahkamah hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2024.

MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang hari ini menolak permohonan Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew dan ahli perniagaan Phang Li Koon untuk membatalkan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Rofiah Mohamad menolak usaha mereka untuk membatalkan kes itu kerana ia bukan kes bahaya berganda seperti yang didakwa oleh mereka.

Beliau berkata terdapat perbezaan besar dalam prosiding ini berbanding pertuduhan asal yang dipetik oleh pihak pembelaan.

“Fakta kes berbeza. Kes mesti diteruskan,” katanya di mahkamah seperti dilaporkan media.

Tahun lepas ketiga-tiga tertuduh memfailkan permohonan untuk membatalkan kes itu, memetik penggunaan bukti yang sama dalam kes tidak berkaitan di mana Lim dibebaskan pada 2018.

Lim dalam pada itu dilaporkan oleh Malaysiakini sebagai berkata bahawa dia dan isterinya akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan pertuduhan.

Pada 23 Jun tahun lalu Lim dan Chew memfailkan permohonan itu atas alasan pertuduhan semasa terhadap mereka adalah serupa seperti yang dikenakan terhadap Lim pada 2016 yang dia kemudiannya dibebaskan pada 2018.

Ini adalah berhubung dakwaan penukaran status tanah negeri dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Dalam salinan afidavit yang menyokong permohonan  membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram itu, pasangan suami dan isteri itu mendakwa pertuduhan sekarang melanggar hak asasi mereka.

Ini kerana mereka dikenakan pertuduhan atas kesalahan sama yang mana mahkamah jenayah memberikan pembebasan.

Lim dan Chew bergantung pada prinsip undang-undang bahaya berganda, iaitu seseorang tertuduh tidak boleh dibicarakan semula atas pertuduhan yang sama atau serupa, berikutan pembebasan atau sabitan.

Pada 26 Mei tahun lepas pasukan peguam Lim, Chew dan Phang memaklumkan mahkamah jenayah bahawa mereka berusaha untuk membatalkan pertuduhan terhadap mereka.

Phang yang didakwa bersama Lim pada 2016 juga dibebaskan pada 2018. Pada 2020 dia diheret sekali lagi ke mahkamah jenayah bersama Lim dan Chew.

Pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 2020, kes ketiga-tiga mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi George Town.

Mahkamah hari ini menetapkan 26 Julai untuk pengurusan kes. – 3 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen