Suami isteri bekal senjata kepada lelaki Israel didakwa di mahkamah


SEPASANG suami isteri yang dituduh membekalkan senjata api kepada seorang lelaki Israel berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang hari ini.

Sharifah Faraha Syed Husin, 41, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPAA) kerana didakwa memiliki pistol itu.

Suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin, 43,didakwa mengikut Seksyen 9 akta sama kerana bersubahat dengan Faraha apabila dia didakwa mengetahui pistol itu dalam pemilikannya.

Kesalahan yang didakwa berlaku pada 29 Mac lalu di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor.

Kedua-dua individu mengaku tidak bersalah dan menuntut dibicarakan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat.

Ikat jamin tidak diberikan kerana kesalahan FIPAA tidak boleh dijamin. Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 11 Jun di hadapan Hakim Sesyen Sharifah Hascindie Syed Omar.

Timbalan pendakwa raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Fazeedah Faik mengetuai pendakwaan terhadap pasangan itu yang tidak diwakili di mahkamah.

Awal hari ini Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pasangan yang didakwa membekalkan warga Israel Shalom Avitan sebanyak enam pistol dan 200 peluru akan didakwa di Klang hari ini.

Avitan ditahan di sebuah hotel Kuala Lumpur pada 27 Mac dan mendakwa berada di Malaysia untuk menyelesaikan pertikaian keluarga dengan membunuh seorang lagi warga Israel.

Razarudin juga berkata Avitan dijangka akan didakwa hujung minggu ini. – 8 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen