Ibu Zayn Rayyan dibawa ke Apartmen Idaman


POLIS hari ini membawa ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Mateen, 6, yang dibunuh pulang ke kediamannya di Apartmen Idaman di Damansara Damai untuk lakonan semula tempat kejadian apabila kehilangan kanak-kanak itu mula-mula disedari pada Disember tahun lepas.

Lakonan semula itu dilakukan oleh polis dalam keadaan yang sangat ketat dengan media tidak dibenarkan berada berhampiran tempat siasatan dijalankan.

Pasukan penyiasat terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, ibu pejabat polis kontinjen Selangor dan pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, menjalankan proses lakonan semula.

Difahamkan, sebuah van polis tidak bertanda membawa ibu mangsa ke kediamannya di Blok R kira-kira jam 10.15 pagi.

Anggota polis juga dikesan membawa patung kanak-kanak tetapi tujuan penggunaannya tidak diketahui.

Jumaat lalu, polis melanjutkan tahanan reman ibu bapa Zayn selama enam hari lagi bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap pasangan itu.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata pasangan itu akan direman sehingga 13 Jun ini.

Pasangan itu, kedua-duanya berusia 28 tahun, direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan di Puncak Alam pada 31 Mei lalu.

Pada 6 Disember tahun lepas, Zayn ditemui mati di sungai berhampiran Pangsapuri Idaman di Damansara Damai

Mayat itu ditemui sekumpulan penduduk kira-kira 200m dari blok kediamannya selepas dia dilaporkan hilang. – 10 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen