SPRM dijangka panggil bekas pemimpin tertinggi negara


Alfian Z.M. Tahir

Siasatan SPRM tumpu kepada kekayaan milik keluarga bekas pemimpin itu termasuk isteri dan anak-anaknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2024.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan memanggil bekas pemimpin tertinggi kerajaan dan ketua setiausaha sulit minggu depan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana kerajaan bernilai jutaan ringgit.

Laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber itu berkata bekas pemimpin itu disyaki memiliki aset dan perniagaan daripada hasil meragukan.

Menurut sumber itu, siasatan ditumpu kepada kekayaan dimiliki keluarga bekas pemimpin itu termasuk isteri dan anak-anaknya.

Dipercayai bekas pemimpin itu penaung kepada sebuah yayasan.

Beliau didakwa menyalahgunakan dana kerajaan dengan memberi projek melibatkan dana awam kepada individu tertentu ketika beliau memimpin negara semasa pandemik Covid-19.

“Ahli Parlimen di sebuah negeri Pantai Timur dan orang kanannya mungkin akan dipanggil SPRM minggu hadapan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Akta SPRM 2009,” kata sumber tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, sumber itu menambah, SPRM juga dipercayai menjalankan siasatan terhadap seorang lagi bekas pemimpin tertinggi selepas disyaki menggunakan dana kerajaan ‘bagi menyelamatkan perniagaan anaknya sehingga menyebabkan syarikat gergasi petroleum negara, kerugian lebih RM500 bilion sejak 1979’.

Kata sumber itu lagi, syarikat gergasi petroleum itu juga didakwa menjadi ‘alat’ dalam menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengalami masalah kewangan.

“Dana-dana daripada syarikat gergasi petroleum ini disyaki digunakan untuk membina beberapa projek mega negara. Selain bekas pemimpin tertinggi ini, ada juga taikun-taikun perniagaan juga sudah berada dalam radar SPRM,” jelas sumber,” katanya. – 1 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen