Tempoh siasatan ke atas Roger Ng belum diputus, kata Saifuddin


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pertuduhan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs Ng Chong Hwa di Malaysia bergantung pada hasil siasatan pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2023.

TEMPOH keberadaan bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa di Malaysia untuk membantu usaha kerajaan mendapatkan semula aset (asset recovery) yang terkait dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) belum diputuskan lagi, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata tempoh berkenaan akan bergantung kepada proses siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi yang mahu menjalankan siasatan terhadap Ng.

“Polis jaga dia sekarang. Kita (Kementerian Dalam Negeri) cuma bantu bawa dia balik (ke Malaysia) kerana polis masih ada perkara yang belum selesai dengan dia.

“Dia dibawa ke sini untuk membantu kerajaan ke arah mengusahakan asset recovery,” katanya kepada media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama di Putrajaya hari ini.

Ditanya mengenai peruntukan undang-undang untuk Ng disiasat dan pertuduhan yang bakal dihadapi, Saifuddin berkata perkara itu belum diperincikan lagi.

“Hal itu saya serahkan kepada pihak polis. Mereka akan kenal pasti bawah undang-undang apa dan sebagainya. Jadi sama ada hendak meneruskan siasatan lama ataupun ada bentuk siasatan baru, itu bidang kuasa polis.

“Itu (pertuduhan) bergantung kepada hasil siasatan. Ia terlalu awal bagi saya membuat apa-apa andaian,” katanya.

Menurut Saifuddin, Ng tiba di Malaysia semalam dan ia merupakan hasil kerjasama dan perjanjian (triti) antara Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) dan Pejabat Peguam Negara.

Menurutnya, Pejabat Peguam Negara yang diterajui oleh Tommy Thomas ketika itu memberi tempoh sehingga Februari depan kepada DoJ untuk menyelesaikan kes terhadap Ng.

“Bagaimanapun, kes itu dapat diselesaikan lebih awal dan Ng dipulangkan ke negara ini untuk siasatan seterusnya oleh pihak Malaysia,” katanya.

Ditanya adakah Ng akan dihantar kembali ke Amerika Syarikat untuk menjalani hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh mahkamah di sana, Saifuddin berkata ia bergantung kepada hasil siasatan.

“Apa pun kita terikat kepada apa-apa terma yang telah dipersetujui sama ada di peringkat triti ataupun di peringkat koresponden antara kedua-dua negara melalui Pejabat Peguam Negara dan DoJ.

“Objektif utama kita adalah bagaimana dia boleh membantu mengenai usaha mengambil kembali aset milik rakyat kerana pembabitan beliau dalam Goldman Sachs dan sebagainya,” katanya. – Bernama, 9 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen