Enggan serah telefon, aktivis beredar dari Bukit Aman


Shashi beredar selepas enggan menyerahkan telefon bimbitnya kepada polis, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2023.

PRESIDEN Yayasan Hak Asasi Manusia Global S Shashi Kumar beredar dari ibu pejabat polis di Bukit Aman hari ini selepas enggan menyerahkan telefon bimbitnya kepada polis untuk siasatan.

Shashi yang dipanggil ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan berhubung video dimuat naiknya yang mempertikai tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengislamkan seorang pemuda di masjid di Klang meninggalkan Bukit Aman tanpa memberi keterangan.

Beliau akui terkejut apabila seorang inspektor dari Unit Siasatan Terkelas mahu merampas telefon bimbitnya sebaik tiba di pintu masuk Bukit Aman.

Saya bertanya mengapa dia mahu mengambil telefon saya, dan pemeriksa berkata ia adalah prosedur mereka. Apabila saya bertanya berapa lama telefon itu diperlukan, pegawai itu memberitahu saya bahawa ia mungkin mengambil masa kira-kira sebulan.

“Jadi saya menolak, sebab saya ada dokumen peribadi, gambar keluarga saya dan sebagainya dalam telefon ini. Saya pun guna untuk kerja.

“Jika polis mahukan video yang saya muat naik ke Tiktok, saya boleh berikan sahaja video itu,” katanya yang dipetik Malaysiakini.

Shashi yang merupakan seorang aktivis memberitahu menerima panggilan daripada pegawai penyiasat semalam yang memintanya hadir ke Bukit Aman untuk memberi kenyataan berhubung video berkenaan.

Bagaimanapun, aktivis itu mendakwa polis tidak menyebut apa-apa tentang perlu menyerahkan telefonnya untuk tujuan siasatan.

Sambil menyifatkan permintaan untuk telefonnya sebagai pencerobohan privasi, Shashi berkata dia kemudiannya beredar dan meninggalkan Bukit Aman.

Beliau bercadang untuk memindahkan data dari peranti itu terlebih dahulu sebelum bertemu penyiasat sekali lagi untuk memberi kenyataan.

“Selepas saya pindahkan (data saya), barulah saya akan berikan mereka apa yang mereka perlukan. Jika anda mahukan video tertentu itu, saya boleh berikan anda video itu, anda tidak boleh sentuh perkara lain.

“Anda tidak boleh menceroboh privasi peribadi,” katanya.

Katanya lagi, pegawai penyiasat bertanya sama ada beliau boleh hadir ke ibu pejabat polis malam ini namun Shashi berkata dia mungkin hanya boleh berbuat demikian esok.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan. Undang-undang menetapkan kesalahan yang berkaitan dengan ‘penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk mencetuskan pelanggaran keamanan’.

Shashi Kumar adalah aktivis kedua yang dipanggil polis berhubung kritikan terhadap Anwar kerana membantu seorang pemuda mengucap dua kalimah syahadah di sebuah masjid di Klang, Jumaat lepas.

Semalam, aktivis Arun Dorasamy dipanggil memberi kenyataan berhubung satu lagi video berkait isu sama. – 23 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen