Polis ambil keterangan Hadi esok


Alfian Z.M. Tahir

Sebelum ini Hadi dilaporkan menangguhkan soal siasat atas alasan keuzuran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2023.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang  akan diambil keterangannya oleh polis esok berkait ucapannya ketika berkempen di Muar, Johor, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata terpaksa menangguhkan proses mengambil keterangan Hadi semalam atas faktor kesihatan.

Hadi dijadualkan bertemu polis jam 9 pagi.

Sebelumnya Hadi dijadualkan untuk disoal siasat jam 4.30 petang semalam.

 “Beliau minta tangguh ke esok hari kerana beliau tidak sihat,” katanya lapor, Buletin TV3.

Sementara itu, Suhaily berkata pihaknya tidak dimaklumkan tentang pertemuan Ahli Parlimen Marang itu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berlangsung selepas sesi soal siasat polis ditangguhkan.

Hadi bergambar bersama Mahathir dalam pertemuan sekitar 5.30 petang semalam ditemani Menteri Besar Kedah Mohammad Sanusi Md Nor, MB Kelantan Nassuruddin Daud, MB Terengganu Ahmad Samsuri Mohktar dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Pada Isnin, dilaporkan Hadi disiasat di bawah Akta Hasutan selepas beliau mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan.

Sementara itu setiausaha politik Hadi Syahir Sulaiman menepis tuduhan timbalan ketua penerangan PKR Razeef Rakimin.

Semalam, Razeef dalam satu kenyataan mempertikaikan alasan keuzuran digunakan Hadi untuk mengelak daripada disiasat.

“Seperti biasa, tuduhan PKR tiada asas dan tidak dibuat berdasarkan fakta. Mereka sengaja nak cipta persepsi tertentu (terhadap Hadi),” kata Syahir, lapor FMT.

Syahir turut mengingatkan orang awam agar merujuk kepada penyataan Bukit Aman berkait siasatan. – 3 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen