Anggota SPRM pakai kamera badan ketika operasi siasatan


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki (tengah, barisan belakang) pada majlis pelancaran kamera badan dan jaket SPRM di Putrajaya hari ini. – Gambar Facebook SPRM, 31 Julai 2023.

ANGGOTA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan tugasan operasi siasatan kini akan dilengkapkan dengan kamera badan (BWC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kamera itu akan merekodkan secara audio dan visual setiap peristiwa yang berlaku semasa proses siasatan.

Berucap pada majlis pelancaran BWC dan jaket SPRM di Putrajaya hari ini, Azam berkata inisiatif berkenaan yang membabitkan sebanyak 142 unit kamera sebagai permulaan adalah untuk meningkatkan ketelusan agensi itu dalam melaksanakan operasi siasatan.

“Ketelusan amat penting kerana kita tidak mahu SPRM disyak wasangka dengan pelbagai tohmahan. Dengan adanya BWC ini kita dapat kurangkan ‘cakap yang bukan-bukan’ (mengenai) pegawai kita,” katanya.

Kesemua 142 BWC itu akan diedarkan kepada anggota SPRM di ibu pejabat dan negeri secara berperingkat dan pihak SPRM juga bercadang untuk menambahkan bilangannya, katanya.

Pada sidang media selepas majlis pelancaran itu, Azam berkata pembelian BWC itu tidak menelan kos yang tinggi kerana peranti tersebut diperoleh terus daripada pembekal mengikut harga pasaran, selain tidak menggunakan sistem khusus.

“Jika kita beli sistem, maknanya ia akan disimpan dalam bentuk data. Untuk jimatkan masa dan lebih praktikal, kita guna kamera ini secara persendirian di mana kad SD akan disimpan untuk rujukan jika ada keperluan untuk ke mahkamah atau isu lain,” katanya. – Bernama, 31 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen