Muda mati beragan


Faisal Tehrani

Tanpa pautan sepenting PH, Muda terkontang-kanting, sedang strategi merajuk kekal tidak menjadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2023.

TIDAK susah mana pun membaca Langkah Muda minggu ini. Parti yang dibarisi anak muda itu menggoda Pakatan Harapan (PH) akan tetapi goda punya goda PH ternyata tidak jelira; lantas Muda mengancam kabur.

Harapan tidak sampai membujuk dan Muda harus membawa badan sendiri. Tanpa pautan sepenting PH, Muda terkontang-kanting, sedang strategi merajuk kekal tidak menjadi.

Parti tersebut yang dipimpin oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memiliki satu kerusi parlimen, Muar; dan satu lagi kerusi di Dewan Undangan Negeri Johor iaitu Puteri Wangsa.

Untuk kekal relevan, Muda mencuba-cuba bertanding dalam pilihan raya negeri. Malangnya tidak ada satu pun yang sangkut dan ia tambah-tambah mengancam kewujudannya.

Muda mesti mencari dahan berpaut. Jika tiada Muda mungkin perlu membujang sampai bila-bila pun.

Dalam politik muda belum tentu menjadi sifat yang diburu orang. Kadang-kala ciri muda itu membuatkan orang menjauh.

Memang di luar negara katakan di Eropah ada ramai tokoh politik muda yang terangkat. Malah ada yang dipilih menjadi Perdana Menteri.

Namun demikian, negara kita didominasi oleh politik Melayu, kerangka Melayu justeru psiki Melayu. Ada lagi bau-bau Islami yang kental menusuk.

Dalam cara fikir orang Melayu, anak muda dikaitkan dengan hal-hal tidak siap.

Anak muda dikatakan tiada hala tuju. Anak muda dihujahkan kesasaran. Anak muda dipandang sepi. Anak muda perlu banyak membuktikan.

Anak muda sering diremehkan. Anak muda selalu dianggap tiada pengalaman. Anak perlu makan lebih banyak garam. Anak muda perlu banyak belajar.

Anak muda selagi tidak 40 tahun belumlah lagi kuat untuk menggembala. Sementelah angka 40 itu dikait-kait dengan nabi, dengan hadis, dan dengan para wali.

Pernah pertengahan tahun lalu, seorang pemimpin parti yang agak muda di peringkat parti meminta pandangan saya perihal kasadnya untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

Dia mengharapkan saya teruja dan untung-untung saya menulis perihalnya. Maka terserlah citranya pula.

Pun, pertanyaan saya kepadanya mudah pada waktu itu: “Orang rumah dari mana?”

Dia membalas polos, “Saya belum bernikah Dr.”

Maka saya juga merespons serius, “Kalau begitu susah sekali. Melainkan saudara diberi pilihan bertanding di kawasan bandar dengan undi bukan Melayu yang tinggi, kerana barangkali saja orang tidak begitu memikirkan hal ini.

“Kalau sasarannya untuk bertanding di kawasan yang menuntut undi Melayu, maka saudara mesti beristeri. Orang Melayu memerhati hal-hal seumpama itu.”

Pemuda itu agak tidak berpuas hati. Saya menjelaskan lagi, untuk kebanyakan orang tua Melayu, hal tidak berumahtangga bermaksud ada aspek haiwani dalam dirinya belum dapat ditangani.

Orang Melayu memahami orang perempuan bujang. Akan tetapi lelaki yang bujang di awal 40an selalu mengundang lain-lain persepsi. Dia mencuka, dan membangkitkan perihal Muda.

Dalam hal ini saya berpendapat, kemenangan dua orang bujang di Muar dan Puteri Wangsa itu adalah pengecualian yang banyak, dan tidak dapat dihuraikan panjang di sini.

Tetapi secara amnya, tanpa faktor-faktor politik yang khas, calon muda kurang terpandang dek pengundi.

Jadi hal muda bukan lagi pesona untuk ramai. PH mungkin tercari-cari apa yang dapat ditawarkan Muda.

Jika tenaga mudanya, tentulah itu sifat lewah. Bahkan dalam konteks politik Muda, tawaran muda itu bahkan menyusahkan kerana parti-parti komponen lain dalam PH yang cuba dipikat itu juga ramai sekali orang muda yang menanti kesempatan dan peluang untuk berkhidmat.

Jika kepakaran, inovasi dan kreativiti atau ilmunya yang ingin diketengahkan, orang lain pun ada juga.

Akibatnya Muda dilihat tidak menambah kalaupun ada, tidak mengurang kalau tiada.

Kalau Muda ingin menjadi blok ketiga, mereka seharusnya meneroka kemungkinan itu lebih awal, iaitu seawal PRU15 dengan bertanding di kawasan-kawasan bandar di negeri maju seperti Selangor atau Pulau Pinang.

Barangkali ketika itu akan ada calonnya yang terangkat oleh pengundi. Bahkan Muda akan lebih diyakini apabila melangkah masuk Pilihan Raya Negeri.

Akan tetapi memilih menjadi blok ketiga setelah tidak dilayani menjadikan Muda semacam sasaran yang lebih mudah dihinjak. Memang kasihan, tetapi politik memang hanya untuk jiwa cekal.

Sewaktu saya turun ke lapangan di Muar melakukan survei di saat kemuncak kempen PRU15 lalu, saya duduk menghadap pengundi-pengundi muda yang saya tanyakan apakah pilihan mereka.

Daripada 10, empat anak muda Muar mengatakan mereka akan memilih Syed Saddiq. Bila saya tanya mengapa, mereka menjawab kerana Muda ada janjinya dengan PH.

Empat berbalas enam itu diterjemahkan dalam undi yang sedikit lebih untuk Syed Saddiq ketika PRU meskipun dia tetap memenangi parlimen Muar.

Responden yang lain menyatakan dengan jujur, mereka mahukan lain dari Saddiq yang juga ikut terpalit tuduhan rasuah.

Kes mahkamah Syed Saddiq masih berjalan dan meskipun beliau boleh menempik mengatakan dirinya bersih di TikTok, keterangan di mahkamahlah yang akhirnya menjadi penentu.

Tidak ada siapa yang gembira Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan dari tuduhan dan kes mahkamahnya, kecuali segelintir.

Survei pengkaji di lapangan ketika PRU15 dan Pilihan Raya Negeri lalu menatijahkan rasa meluat yang tinggi kepada Zahid, sehingga menempias Perdana Menteri yang bekerja tidak mengambil gaji.

Makanya tekad MUDA yang mana Saddiq sendiri dilumur kes korupsi dipandang lebih menggelikan hati. Hari ini orang pandang semua parti politik setara dari segi mensakau mensaku.

Dalam keadaan hari ini tatkala rakyat kelelahan dengan cuaca politik yang tidak menentu dan tidak membawa kestabilan, tindak-tanduk Muda mutakhir ini bukan hanya meraih simpati dan sokongan, tetapi dikhuatiri membawa kerimasan dan rasa menyampah yang makin mencanak. MUDA mungkin menempa nasib anak muda yang mati beragan.

Untuk orang Melayu, kalau yang mati beragan itu kerbau landau, kulitnya memang dikejar-kejar orang. Kalau teras nibong tunggal yang mati beragan lagilah banyak kegunaannya untuk dibuat bertukang.

Demikian pula kalau gajah mati beragan, gadingnya banyak khasiat dan penawar, terutama untuk orang yang sudah beristeri.

Kalau untuk orang muda bujang, hendak disalurkan ke mana tenaga batin itu nanti?

Dalam ilmu Melayu, mati beragan untuk anak muda adalah mati ditimpa cita-cita dan keinginan yang amat kuat sehingga tidak mendapat lantas menjadikannya nestapa lalu perlahan-lahan memamah diri.

Biasanya mati beragan ini terjadi apabila sang muda itu mengingini pasangan yang didambai hatinya namun tidak terpandang. Mati rindu yang teramat sangat.

Dalam siasah, mati beragan adalah perkara paling malang dan payah. Ia kematian perlahan dan amat membinasakan.

Ramai yang menempuh nasib sial ini. Tak sampai hati untuk dibabadkan di sini.

Kita yang menyaksikan pernah serasa kasihan tetapi tidak dapat menolongkan. Yang mengalami proses kematian itu pula berhempas pulas menagih perhatian.

Lama-kelamaan kita yang sebagai saksi ini menjadi letih dan mulai meneruskan perjalanan. Kita mengucapkan selamat tinggal.

Si muda yang tidak dibawa sama dalam perjalanan itu merempat terus sengsara makan hati dan jiwa. Sampailah satu masa kematian yang demikian tragis dan memilukan.

Kematian beragan yang dalam karya-karya sastera tradisional dan moden Melayu dilukiskan secara penuh bangsat.

Muda nampaknya sedang menempuh jalan yang sama.

Wallahualam bissawab. – 12 September, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen