Bagaimana Srivijaya beri jaminan makanan pada 684 Masehi?


Faisal Tehrani

KITA mempunyai sebuah kerajaan yang aneh. Ketika negara berdepan dengan krisis jaminan makanan, menteri dan pembesarnya sedang berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Asean. Kerajaan yang aneh ini nampaknya masih terlalu lembab memastikan  keupayaan negara kita untuk memastikan bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat.

Jaminan makanan biasanya diukur berdasarkan nisbah pergantungan import dan sara diri, yang mengukur berapa banyak komoditi pertanian terpilih diimport.

Bertitik tolak dari situ, ada baiknya kita menjejaki kebijaksanaan pemerintah dan kerajaan Melayu yang paling awal, tempat bermulanya bahasa Melayu iaitu kerajaan Srivijaya (yang beragama Buddha). 

Kerajaan purba Srivijaya ini nampak lebih senonoh dan terkehadapan dalam menyelesaikan isu jaminan makanan ini, berbanding kerajaan moden pimpinan Ismail Sabri Yaakob, yang antara lain dianggotai oleh parti Umno, PAS dan Bersatu.

Apakah yang telah Srivijaya lakukan dalam memberi jaminan makanan pada tahun 684 Masehi? 

Hal ini mungkin dapat dinilai melalui Prasasti Talang Tuo. Ia sebuah batu bersurat kerajaan Srivijaya yang ditemukan di kampung Talang Tuo, Palembang di Sumatera Selatan pada 1920.

Prasasti atau batu bersurat ini diperbuat dari batu andesit dengan tulisan menggunakan bahasa Pallawa, dan terdiri dari empat belas baris. Prasasti ini dengan jelas menyatakan tarikh ia dipahat iaitu 606 Saka, atau 23 Mac 684 Masehi.

Transkripsi Talang Tuo tersebut adalah (dalam bahasa Melayu kuno). Isi atau terjemahannya berbunyi begini:

[Pembangunan Taman Sriksetra oleh Sri Jayanasa pada tanggal 23 Mac 648 dengan tujuan untuk kesejahteraan semua makhluk.

Pada tanggal 23 Mac 648 Masehi, pada saat itulah taman ini dinamakan Sriksetra dibuat di bawah pimpinan Sri Baginda Sri Jayanasa. Inilah niat baginda: semoga yang ditanam di sini, pohon kelapa, pinang, arensagu, dan bermacam-macam-macam pohon, buahnya dapat dimakan , demikian pla bambu haour, waluh, dan pattum, dan sebagainya ; dan semoga juga tanaman-tanaman lainnya dengan bendungan-bendungan dan kolam-kolamnya, dan semua amal yang saya berikan, dapat digunakan untuk kebaikan semua makhluk, yang dapat pindah tempat dan yang tidak, dan bagi mereka menjadi jelan terbaik untuk mendapatkan kebahagiaan jika mereka lapar waktu beristirehat atau dalam perjalanan, semoga mereka menemukan makanan serta air minum. Semoga semua kebun yang mereka buka menjadi berlebih (penennya).

Semoga suburlah ternak bermacam-macam jenis yang mereka pelihara, dan juga budak-budak milik mereka. Semoga mereka tidak terkena malapetaka, tidak tersiksa kerana tidak bisa tidur. Apa pun yang mereka perbuat semoga semua planet dan rasi menguntungkan mereka dan semoga mereka terhindar dari penyakit dan ketuaan selama menjalankan usaha mereka dan juga semoga semua hamba mereka setia pada mereka dan berbakti, lagi pula semoga teman-teman mereka tidak mengkhianati mereka dan semoga isteri mereka bagi isteri yang setia.

Lebih-lebih lagi di mana pun mereka berada, semoga di tempat itu  tidak ada pencuri. atau orang yang mempergunakan kekerasan, atau pembunuh atau penzina. Selain itu, semoga mereka mempunyai seorang kawan sebagai penasihat baik; semoga dalam diri mereka lahir pikiran boddhi dan persahabatan (….) dari tiga ratna dan semoga mereka tidak terpisah dari tiga ratna itu.

Dan juga semoga senantiasa (mereka bersikap) murah hati, taat pada peraturan, dan sabar; semoga dalam diri mereka terbit tenaga, kerajinan pengetahuan akan kesenian berbagai-bagai jenis; semoga semangat mereka terpusatkan, mereka memiliki pengetahuan ingatan, kecerdasan. lagi pula semoga mereka teguh pendapatnya, bertubuh intan seperti para mahasttwa berkekuatan tiada bertara, berjaya, dan juga ingat akan kehidupan-kehidupan mereka sebelumnya, berindra lengkap, berbentuk penuh, berbahagia bersenyum, tenang, bersuara yang menyenangkan, suara bharma. Semoga mereka dilahirkan sebagai laki-laki. dan keberadaannya berkat meraka sendiri; semoga mereka menjadi wadah batu ajaib, mempunyai kekuasaan atas kelahiran-kelahiran, kekuasaan atas karma, kekuasaan atas noda dan smoga akhirnya mereka mendapatkan penerangan sempurna lagi agung.]

Saya telah menulis banyak artikel akademik mengenai Talang Tuo ini sebagai satu dikri diraja yang luar biasa ke hadapan. 

Prasasti ini menyarankan tiga asas supaya rakyat atau manusia, atau dalam prasasti ini dirujuk ‘semua makhluk’; yang melibatkan hubungan manusia dengan alam dan haiwan. 

Pertamanya; prasasti ini menekankan manusia dan alam ini bersaudara atau bersahabat, keduanya; tuntutan agar keamanan dapat dikekalkan dan kekacauan dihindari, ketiganya; maruah dan kehormatan manusia terpelihara dan tidak dicabul sewenang-wenangnya.

 Asas pertama iaitu bersaudara atau bersahabat tercermin pada gesaan Sri Jayanasa supaya rakyat atau manusia amnya berbaik-baik dan pembinaan taman yang beliau ungkapkan di awal prasasti dapat menjadi ‘kebaikan buat semua makhluk’. 

Sri Jayanasa atau nama penuh Dapunta Hyang Sri Jayanasa merupakan raja pertama dan pengasas kerajaan Srivijaya. Beliau memerintah Srivijaya daripada 671 M hingga 702 M. 

Harapan baginda supaya taman atau dusun buah yang disiapkannya itu dapat dimanfaatkan oleh siapa sahaja termasuk musafir menunjukkan bukan sahaja kualiti kehidupan sudah dititik-beratkan pada zaman itu akan tetapi nilai yang ingin ditegakkan oleh gagasan hak asasi manusia moden iaitu kasih-sayang dan persaudaraan sesama umat manusia sudah terjelma. 

Dalam zaman yang mana tiada undang-undang antarabangsa dan hidup berasaskan kekuatan, keberadaan prasasti ini sebagai satu titah diraja memberi makna besar. 

Sebagai contoh Sri Jayanasa mendoakan, atau mengharap manusia berbaik dan hidup rukun yang ‘lahir pikiran boddhi dan persahabatan (….) dari tiga ratna dan semoga mereka tidak terpisah dari tiga ratna itu’. 

Untuk itu Sri Jayanasa menekankan mutu hidup yang sebenar adalah dengan ‘murah hati, taat pada peraturan, dan sabar; semoga dalam diri mereka terbit tenaga, kerajinan.’ 

Ternyata doktrin Buddha Mahayana membentuk kerangka berfikir pemerintah Srivijaya sewaktu itu. Kerangka ini menyediakan formula kebahagiaan yang dapat dikecapi oleh pelbagai makhluk hidup. Kesejahteraan untuk semua makhluk ini terkandung pada baris keempat; ‘sawanakna yam wuatna sucarita parawis’ (dan semua amal yang saya berikan). 

Amal mulia ini bukan untuk sasaran terpilih semata-mata tetapi harus dikongsi oleh semua, prayojanakan punyana sarwwa satwa (dapat digunakan untuk kebaikan semua makhluk). Ia adalah ‘jalan terbaik untuk bertemu kebahagiaan’ sebagai pencerahan rohani secara berperingkat, yakni bermula dengan memenuhi keserakahan atau nafsu rendah terlebih dahulu.

Dalam hal jaminan makanan Talang Tuo menjelaskan mengenai pembinaan sebuah taman atau dusun yang mana ditanami pelbagai tumbuhan untuk kegunaan bersama, dan juga supaya ternakan dapat hidup dan meragut dengan aman serta memberi manfaat kepada manusia kemudiannya. 

Harus diingat, bekalan makanan yang dijamin oleh raja Srivijaya itu adalah percuma (semua makhluk boleh mengambilnya) kerana ia adalah satu ‘amal baik’.

Dalam erti kata lain ketika era kerajaan purba Srivijaya, hak untuk mendapat makanan sebagai salah satu hak yang diperjuangkan oleh gagasan hak asasi manusia moden seperti terkandung pada Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 telah pun wujud. 

Hak untuk mendapatkan makanan secara kekal yang cukup dan bermutu tanpa sebarang halangan adalah hak asasi yang dilindungi oleh UDHR 1948. 

Ia malah dimasukkan secara spesifik dalam sebuah kovenan antarabangsa iaitu International Covenant on Economic, Social, and Cultural Rights (ICESCR) yang ditandatangi oleh 160 buah negara. 

Kembali kepada Talang Tuo, ‘di atas batu ini’, Sri Jayanasa pada tahun 648 Masehi telah menetapkan akses untuk makanan menjadi tanda aras kesejahteraan masyarakat Srivijaya. 

Jika kita menggunakan itu sebagai tanda aras, kerajaan hari ini gagal memberikan kesejahteraan kepada kita. Padahal Srivijaya dan kerajaan Malaysia sama-sama Melayu. Cuma bezanya yang dulu itu Buddha, yang sekarang ini konon Islam.

Srivijaya menegaskan hal yang penting dalam sesebuah kerajaan untuk rakyatnya adalah jaminan makanan. Inilah sebab musabab baginda menanam ‘pohon kelapa, pinang, arensagu, dan bermacam-macam-macam pohon, buahnya dapat dimakan, demikian pula bambu haour, waluh, dan pattum, dan sebagainya’. 

Buah-buahan sebagai makanan ini tidak dihadkan untuk kasta, atau rakyat tertentu, tetapi juga untuk musafir atau orang yang merantau. Sri Jayanasa malah membina ‘bendungan-bendungan dan kolam-kolamnya’ sebagai ‘amal yang dapat digunakan untuk kebaikan semua makhluk, yang dapat pindah tempat dan yang tidak, dan bagi mereka menjadi jelan terbaik untuk mendapatkan kebahagiaan jika mereka lapar waktu beristirehat atau dalam perjalanan, semoga mereka menemukan makanan serta serta air minum. Semoga semua kebun yang mereka buka menjadi berlebih (penennya)’. 

Hari ini kita nampaknya mempunyai sebuah kerajaan yang lebih buruk dan lebih mundur dari sebuah kerajaan kuno Srivijaya pada tahun 648 Masehi, yang gagal memikirkan jaminan makanan untuk rakyatnya. 

Saya ulangi, Srivijaya menegaskan hal yang penting dalam sesebuah kerajaan untuk rakyatnya adalah jaminan makanan. Hal sepenting dan segenting ini nampaknya gagal ditangani oleh kerajaan yang ada hari ini. 

Punyalah gagal dan gila teruk, di tengah krisis jaminan makanan iaitu ketiadaan bekalan daging ayam, dan kekurangan telur; kerajaan kita sedang ingin berlumba dengan Indonesia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Asean. – 24 Mei, 2022.     

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen