Wanita dari minah karan ke 'home baker'


Faisal Tehrani

Ketua Wanita PH iaitu Aiman Athirah Sabu berkata peranan wanita yang kini tidak lagi terhad sebagai suri rumah tetapi turut serta dalam pasaran kerja sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2023.

HUJUNG minggu lalu buat pertama-tama kalinya berlangsung Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. 

Konvensyen ini menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti yang membentuk kerajaan perpaduan. Niat politik mereka adalah untuk membina kerjasama lebih kukuh pada masa depan. 

Saya percaya ujian pertempuran pertama kelak adalah pilihan raya negeri. 

Saya membaca entah di mana terdapat kira-kira 3,400 wanita daripada aneka parti politik berhimpun di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Tentulah melongokan membayangkan Wanita Umno duduk bersekali dengan Wanita DAP.

Saya mendengar separuh jalan secara atas talian acara ini dan lebih memberi perhatian kepada Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan berbanding Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan turut berjalan serentak. 

Konvensyen Wanita nampaknya memfokuskan kepada agenda ekonomi, pembinaan negara bangsa dan peranan wanita dalam konteks Malaysia Madani.  

Ketika ucapan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) iaitu Aiman Athirah Sabu (ahli Parlimen Sepang) yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat beliau menyentuh darihal partisipasi wanita yang harus selari dengan peredaran zaman. 

Beliau meninjau peranan wanita yang kini tidak lagi terhad sebagai suri rumah tetapi turut serta dalam pasaran kerja sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Terdapat ayat atau perenggan dari pidato beliau yang lebih membuat saya tertarik dalam hal ‘pembangunan wanita ini’. 

Saya percaya masyarakat boleh memberi perhatian lebih dari hal apa yang beliau sebutkan dalam perenggan di bawah. 

Menurut Aiman Athirah begini: “…kami ingin menyerukan yang wanita sebagai ejen pembangunan hendaklah diterjemahkan kepada perubahan hubungan lelaki dan wanita di tahap individu, komuniti dan masyarakat. 

“Ini kerana kami bukan lagi di dekad wanita itu Jeha, sang peladang dan pesawah dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Betul, kami pernah membanting tulang di ladang dan estet. Akan tetapi kami tidak lagi terperuk. 

“Jika anda melihat perjalanan kami dalam membangunkan negara, amat jelas wanita adalah tonggak perusahaan negara. Meskipun dengan niat menghina sebagai “minah karan”, wanita sepertinya Aminah inilah wanita dalam tahun 1970an dan 1980an yang pernah menjadikan Malaysia, salah satu harimau Asia.  

“Jika wanita dilihat sebagai pelengkap perusahaan mikro, salah satu petunjuk untuk menjadikan desa menjadi bandar — iaitu yang Qurawi menjadi Madani — tentulah terletak pada pundak wanita. 

“Lihat sahaja bagaimana kami menjadikan tumpuan pertanian menjadi perindustrian dengan merubah keledek di batas kebun menjadi kerepek dan rempeyek di rak pasaraya kota. Dapur yang berasap untuk keluarga kini telah mengorak menjadi wanita berkerjaya sebagai home baker.”

Perenggan di atas sebetulnya sangat bertenaga dan penting dalam menonjolkan penyertaan wanita dalam pembangunan negara. 

Pertamanya Aiman Athirah menyentuh peranan wanita dalam industri pertanian yang mana dalam banyak keadaan menjadi ‘supporting role’ atau pembantu ketua keluarga. 

Beliau menyinggung protagonis novel Ranjau Sepanjang Jalan tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad iaitu Jeha. 

Seperti mana kita maklumi watak Jeha tidak boleh dijadikan pedoman. Beliau membanting tulang dan akhirnya menjadi gila kerana tidak lagi betah menanggung derita. 
Tidak ramai sedar wanita menjadi antara tenaga kerja terbesar apabila penerokaan tanah Felda dan Felcra dilakukan secara besar-besaran ketika era Tun Abdul Razak. Mungkin tidak banyak pengiktirafan untuk mereka telah diberikan oleh kita.

Takah kedua ialah apabila wanita digoda oleh perindustrian atau perusahaan dan beramai-ramai meninggalkan keluarga untuk bekerja di kilang-kilang. Ini berlaku ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Jika kita sekali lagi ingin menjadikan karya Shahnon Ahmad sebagai petunjuk, barangkali watak Chah dari novelet Tivi dapat disebut di sini. Meskipun watak Chah bukanlah pedoman atau panduan yang baik dari segi moralnya. 

Saya masih ingat melihat ibu-ibu saudara saya melewatkan perkahwinan dan berhijrah ke kota untuk menjadi operator kilang. 

Susan E. Ackerman dalam satu tulisan pada tahun 1984 bertajuk ‘The Impact of Industrialization on the Social Role of Rural Malay Women’ menulis bagaimana wanita-wanita di Alor Gajah, Melaka berhijrah ke kota: “The kampung girls in Alor Gajah are aware that higher paying factory jobs are available outside of Malacca State. 

The basic daily wage for female production workers in foreign owned electronics factories starts at M$5.40 in Penang, M$6.00 in Kuala Lumpur and at least $$7.00 in Singapore, compared with M$4.00 in Malacca. 

Even Seremban, in the neighbouring state of Negeri Sembilan, which has just begun to industrialise, offers higher wages than Malacca: the pull of nearby Kuala Lumpur has raised wage levels in Seremban. 

“Some of the girls have tried working in factories in Kuala Lumpur, but found that the higher cost of living and transportation problems cancelled the wage gains. They have calculated that it is economically more advantageous to remain with their parents in the kampung, where living expenses are minimal, and work for lower wages in Alor Gajah or Batu Berendam. Subsidised transportation is provided by the local factories and commuting time is shorter.”

Aiman Athirah secara jujur mengetengahkan kenyataan bagaimana kaum wanita ini yang dipanggil “minah karan” berkhidmat dan membangunkan negara dalam tahun 1970an dan 1980an sehingga menukar Malaysia, dari sebuah negara pertanian kepada negara perusahaan sehingga mampu menjadi ’salah satu harimau Asia’. 

Malang sekali, tidak banyak wanita perolehi dalam tahun 1980an itu kerana dasar-dasar untuk wanita dalam tahun-tahun pentabdiran Dr Mahathir agak lemah. Lee Lee Loh-Ludher pada tahun 2010, dalam ‘Dari Kilang ke Telepusat: Perjalanan Wanita Dalam Tenaga Buruh Malaysia’ menyatakan feminisasi tenaga buruh di kilang sektor pembuatan dalam masa sama telah menyudutkan wanita seperti suri rumah. Mereka, iaitu wanita suri rumah dianggap ‘penganggur’. 

Beliau juga menulis bagaimana wanita suri rumah terhalang untuk maju secara ekonominya oleh dasar Mahathir yang tidak begitu pro-wanita: 

“Faktor-faktor lain yang menghalang wanita untuk bekerja ialah (i) ketidakcukupan peluang latihan yang menyebabkan kurang kebolehsuaian wanita untuk bekerja; (ii) peruntukan belanjawan rendah bagi kemudahan pendidikan sehingga terpaksa mewujudkan sekolah dua sesi, (iii) penggubalan peraturan dan peruntukan yang lemah menyebabkan kemudahan bagi penjagaan kanak-kanak tidak mencukupi.”

Faktor di atas menyekat bakat dan potensi wanita yang mana mereka terbeban dengan dwi peranan untuk menjadi ibu-isteri dan usahawan tersendiri.

Itulah sebabnya saya melihat ucapan Aiman Athirah di atas amat mustahak. 

Ia memperihalkan takah ketiga wanita dalam pembangunan negara iaitu apabila wanita dengan kesaktian luar biasa, menjadikan produk dapur mereka sebagai keluaran atau produksi yang kini telah menongkah nama dan kekuatan tersendiri dengan berada di rak pasaraya, atau mungkin teredar dan terjual di luar negara. 

Dalam hal ini wanita bukan lagi Jeha tetapi kini menjadi pengusaha dengan “keledek di batas kebun menjadi kerepek dan rempeyek di rak pasaraya kota” atau seperti beliau nukilkan, “dapur yang berasap untuk keluarga kini telah mengorak menjadi wanita berkerjaya sebagai home baker”.

Ini satu fenomena yang menarik yang menurut saya jika gagal ‘direbutkan’ oleh pemerintahan Anwar Ibrahim akan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang petunjuk seperti disebut Aiman di atas.

Apa yang digambarkan oleh Aiman Athirah adalah mengenai sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Ketika pandemik tahun 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkat kepada RM572.6 bilion, berbanding RM547.3 bilion seperti yang dilaporkan pada 2020, namun prestasi ekonomi PKS pada 2021 masih di bawah paras prapandemik 2019. 

Sebelum itu pada tahun 2020 Wan Azizah Wan Ismail ketika menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Wanita ada menyatakan yang perniagaan milik wanita membentuk 20.6 peratus daripada 907,065 jumlah PKS di Malaysia.

Ketika terjadi pandemik, ramai wanita ikut kehilangan pekerjaan dan kemudian menjadi home baker. 

Mereka adalah suri rumah, tetapi dalam masa sama mengusahakan perusahaan kecil sederhana yang berjaya yakni menukar ubi menjadi kerepek untuk terjual merata. 

Pandemik juga meletakkan ramai wanita yang asalnya berkerjaya itu kini menjadi-jadi pula dalam bentuk usahawan wanita selaku home baker.

Saya tidak pasti apakah Anwar sebagai Menteri Kewangan menyedari sumbangan home baker dalam ekonomi negara ini. 
Akan tetapi permintaan Aiman Athirah dalam pidatonya di Konvensyen Kerajaan Perpaduan agar kaum wanita diberi akses kapital, kredit, latihan, bantuan dan pendanaan yang sesuai menurut saya sangat penting untuk memastikan Malaysia dapat betul menjadi Madani.

Saya berharap Aiman Athirah akan kekal bercakap mengenai hal ini. Bukan sahaja di Konvensyen tetapi di Parlimen. 
Dan kesempatan beliau di Kementerian Wanita akan digunakan sepenuhnya untuk membangunkan ‘sektor home baker’ ini. Pembangunan mereka boleh menjadi legasi utama beliau.

Sepertimana beliau nyatakan wanita yang berdayaupaya akan menjadi wanita yang mampu mendidikkan anak-anak mereka, baik anak itu lelaki dan perempuan juga untuk berjaya. 

Anak-anak ini adalah generasi baru yang akan mewarisi Malaysia. Mereka bolehlah dikatakan anak-anak generasi Madani. 

Konvensyen Kerajaan Perpaduan seharusnya tidak menjadi medan memuja PM ke-10 sahaja, dan tidak pula sekadar mengatur jentera untuk merebut kerajaan negeri tertentu tetapi ia juga sewajarnya menjadi medan melihat idea dan gagasan yang cakna dan peka madani. 

Justeru elok kiranya kalau-kalau Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mengambil tahu pidato Ketua Wanita Pakatan Harapan ini. – 17 Mei, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen