Fokus perkasa pembabitan wanita dalam politik, kata timbalan menteri


Aiman Athirah Sabu, timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat mahu perjuangkan pembabitan wanita dalam politik. – Gambar Facebook, 10 Disember, 2022.

PEMERKASAAN pembabitan wanita dalam bidang politik antara yang akan diberi keutamaan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Timbalan menteri yang baharu dilantik Aiman Athirah Sabu berpandangan, terdapat kemajuan dalam pelantikan beberapa wanita sebagai menteri dan timbalan menteri dalam barisan Kabinet kerajaan perpaduan, namun lebih ruang harus diberikan kepada golongan wanita.

“Sasaran sebanyak 30% pembabitan wanita dalam politik satu idea yang dicetus sejak kira-kira 30 tahun lalu, namun sampai sekarang di peringkat menteri dan timbalan menteri masih tidak cukup.

“Oleh itu, tugas dan tanggungjawab kami di KPWKM adalah untuk memikirkan cara meningkatkan lagi pembabitan wanita dalam politik, sama ada penambahan program pemerkasaan atau perubahan dasar dan sistem yang diperlukan untuk menyokong idea itu,” katanya di Kuala Lumpur malam ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasrat memfokuskan penyelesaian isu masyarakat melalui KPWKM, antaranya isu kemiskinan yang boleh menyebabkan sistem kekeluargaan tidak dapat berkembang dengan baik.

Terdahulu, Aiman Athirah berserta 26 timbalan menteri yang lain mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Beliau adalah antara muka baharu dalam Kabinet kerajaan perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam. – Bernama, 10 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen