Kebangkitan ekstremisme Islam pasca PRU15


Faisal Tehrani

Pasca PRU15, lebih 48 jam berlalu, Parlimen Malaysia masih tergantung susulan tiada blok parti yang menang majoriti mudah 112 kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2022.

SAYA kira tidak ada sebab untuk Malaysia berasa panik dengan konservatisme. Malah dalam banyak keadaan, masyarakat kita yang berbilang agama adalah konservatif. Anda boleh beragama Kristian atau Hindu, atau Islam dan menanggapi diri anda sebagai seorang konservatif.

Baik Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH), ketiga-tiga blok ini sentiasa bersikap dan mengambil jalan konservatif dalam isu tertentu khususnya melibatkan ancaman “budaya asing” atau “cara hidup yang dianggap tidak cocok” dengan nilai dan norma Timur.

Tidak ada apa salahnya dengan seorang konservatif. Ia adalah satu cara pandang. Akan tetapi jika konservatisme itu kini adalah ekstremisme, atau naik setingkat hingga memaksakan; maka apa-apa kebangkitan sedemikian akan segera menimbulkan keresahan, malah ketakutan dari pelbagai segmen masyarakat.

Tambahan pula tanda ektremisme itu sedemikian tersorok dalam media sosial seperti TikTok dan hanya terzahir sebaik saja pilihan raya berakhir dengan keadaan Parlimen tergantung.

48 jam sesudah PRU15 berakhir hantaran berbau rasisme, dan seruan keganasan mulai kelihatan. Seruan seperti anti Cina, mempertikaikan keislaman pengundi PH, dan himbauan 13 Mei bersipongang di mana-mana khusus medan TikTok. Apakah yang berlaku?

Sesungguhnya sepanjang kempen dua minggu PRU15 saya ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia melakukan kajian lapangan akademik untuk ISEAS Yusuf Ishak, Singapura.

Dalam beberapa kajian turun padang di Rembia, Melaka pada 6 November, 2022; Muar, dan Pagoh, Johor pada pada 10 November saya ikut serta bersama-sama penyelidik dari Ilham Centre.

Di tempat lain saya melakukan FGD sendirian bersama responden di Parlimen Titiwangsa pada 9 November; Alor Gajah, Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya semuanya pada 5 November; Tampin 8 November; Bangi pada 7 November; Bagan Serai pada 12 dan 13 November; Kuala Selangor pada 14 November; di Hulu Langat pada 15 November; terakhir Pengkalan Chepa dan Kota Bharu pada 16 November.

Responden tatap muka saya secara keseluruhan adalah 94. Dalam survei atas talian menerusi GoogleForm saya beroleh lebih 300 responden.

Dapatan saya tatkala itu sudah pun begitu meresahkan. Pertama, sebahagian besar responden mendapat maklumat salah di TikTok dan mengakui mengikuti akaun atau hantaran pemimpin dan pempengaruh anti PH dan cenderung kepada PN. Mereka malah menyebut nama artis tertentu.

Kedua, hantaran yang mereka dapati itu kebanyakannya berbau rasisme dengan pendirian anti Cina dan mereka yang dikatakan liberal (seorang peserta menyebut nama Siti Kasim).

Di Pagoh, seorang anak muda pertama kali mengundi, yang sedang mengikuti pengajian TVET mengatakan akan mengundi PN kerana masanya sudah tiba untuk undang-undang Islam yang boleh menjatuhkan hukuman mati kepada transgender diperkenalkan. Beliau menyebut nama Nur Sajat.

Di pekan Alor Gajah seorang responden lelaki awal 30-an memberitahu, beliau percaya Cina akan menguasai Malaysia dan menghapuskan Melayu maka pengundi Melayu harus bertindak terlebih dahulu sebelum ia berlaku.

Di Kuala Selangor, dua anak muda pengundi pertama kali yang saya temui memberitahu mereka khuatir Kristian akan menguasai negara.

Di Gemas, seorang anggota berpakaian seragam memberitahu saya beliau percaya azan tidak dapat dikumandangkan di Pulau Pinang dengan hanya berpandukan ceramah seorang ustaz yang terkenal di Permatang Pauh.

Di kawasan kejiranan saya, terdapat hantaran di aplikasi Whatssap menyatakan kesan terhadap akidah sekiranya melantik pemimpin “kafir”.

Ekoran dari itu saya segera menulis sebuah rencana pendek “Fulcrum” dengan judul “P225: TikTok Malaysia’s New Constituency?”. Yakni untuk melaporkan dapatan aneh saya tersebut.

Saya malah mengutus dan menelefoni beberapa tokoh berpengaruh dan memberitahu mereka apa yang saya perolehi di lapangan yang saya tandakan sebagai sangat berbahaya.

Saya menjelaskan saya adalah Felo Pelawat di ISEAS Yusuf yang mana kumpulan kami memberi perhatian kepada tren nve atau ekstremisme pra matang yang boleh membesar menjadi keganasan. Justeru saya mengetahui sekian parameter “bahaya” itu.

Pada malam 19 November dan awal pagi 20 November, kejutan berlaku apabila PAS beroleh 48 kerusi manakala Bersatu mendapat 24 kerusi.

Sayugia diingatkan sepanjang kempen PRU15, PN menggunakan sentimen kaum dan agama secara meluas di mana penceramah mereka cenderung menakut-nakutkan pengundi.

Antara lain terdapat video kempen berdurasi 28 saat Ketua Pemuda Pas Kawasan Sik Mohd Shahiful Mhd Nasir yang mendakwa mereka yang mengundi BN atau PH PRU15 akan masuk neraka.

Selain itu, klip video berdurasi 44 saat yang dirakam dalam satu program di Kemaman pada 4 November lalu tular di media sosial apabila pelakon filem Rempit, Zul Huzaimy atau Spark mahu menyembelih kafir harbi.

Terakhir sebelum hari pengundian pemimpin PN iaitu calon perdana menteri mereka Muhyiddin Yassin menyatakan yang mengundi PH berbahaya kerana PH menaja gerakan Yahudi dan terdapat (agenda) Kristianisasi di Malaysia. Terdapat bantahan daripada pemuka Kristian yang bimbang dengan seruan seperti ini. Meskipun terdapat ralat daripada mereka di atas, kerosakan telah pun terjadi.

Semua bahan kempen di atas dapat ditemui di media sosial baik di Facebook khususnya di TikTok. Hubungan PN dan kempen jahat di TikTok ini kelihatannya bertali-temali.

Akan tetapi tidak ada sedikit pun pemantauan bernas daripada pihak berkuasa yang menimbulkan tanda tanya, adakah ia dibayar dan dibiarkan agar mempengaruhi kempen?

Saya percaya, bukan saja pihak berkuasa perlu mengambil tindakan, bahkan sebenarnya Majlis Raja-Raja perlu mengambil perhatian agar negara ini tidak direbut oleh golongan ekstremis agama.

Saya turun ke lapangan sebagai seorang Felo Pelawat di ISEAS Yusuf yang mana kumpulan kami memberi perhatian kepada bibit ekstremisme yang boleh menyala menjadi ganas.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 2019 pernah mengingatkan yang masa hadapan rakyat dan negara ini tidak harus diserahkan kepada kumpulan yang membawa fahaman ekstremis kaum dan agama.

Baginda bertitah, agar memastikan rakyat berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama ini, hidup secara rukun serta harmoni. Ini adalah signal ketara agar sesuatu harus dilakukan.

Jika Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam tidak mempeduli dan memerhatikan perkembangan gila ini adalah dibimbangi negara ini akan jatuh ke kancah konflik yang tidak lagi dapat diselamatkan.

Saya berpendapat panik sebenar pasca PRU15 ini bukanlah mengenai ketiadaan calon perdana menteri atau blok yang mana patut memerintah Malaysia.

Panik yang sebenar ialah kebangkitan senyap-senyap ekstremisme ketika PRU15 yang kini sudah terzahir nyata.

Jangan beritahu saya tidak mengingatkan kalian. – 22 November, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen