Buek malu orang Rembau


Faisal Tehrani

BETULKAH melanggar SOP bukan satu jenayah? Padahal SOP itu undang-undang.

Ceriteranya begini; adalah seorang ahli politik kanan yang mengakui kekhilafannya (istilah baru yang masyhur dalam kalangan geng politik) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP). 

Beliau menabrak SOP itu ketika hadir dalam satu acara melibatkan Pilihan Raya Negeri Johor pada minggu lalu.

Ahli politik ini adalah tuan yang kerjanya mengumumkan pelbagai SOP Covid-19 kebangsaan termasuk memesan macam-macam supaya pilihan raya negeri (PRN) Johor dijalankan dengan selamat. Akan tetapi dialah juga tuannya yang mendobrak SOP itu.

Oleh sebab itu ada orang Melayu Johor yang adatnya Temenggung melihat dengan penuh dendam perangai cakap tidak serupa bikin ini. 

Yang menjadikan lagi dendam ialah kerana denda atau kompaun yang dikenakan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin terhadap tokoh politik kanan ini serasa tidak memadai.

Kalau orang Melayu Johor masih ingat, melanggar SOP tahun lepas memang satu jenayah. 

Tidaklah kita Melayu terlupa betapa individu yang melanggar SOP ketika menunaikan solat sunat Aidiladha di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, telah ditangkap penuh beria. Bukan main tegas dan beria.

Punya beria sampaikan pihak berkuasa siap membuat pemeriksaan mengejut rumah ke rumah demi memastikan tiada aksi ziarah sempena Aidiladha. Waktu itu terjadi, kita ramai-ramai pasang rasa meluat dan menyampah.

Memanglah kita Melayu tidak senang ditipu, kita memang tahu tahun lalu dan tahun ini ada banyak bezanya. 

Orang sudah semakin tidak takutkan Covid-19. Maklumlah Melayu yang mengambil vaksin lebih ramai daripada Melayu yang tidak gemarkan vaksin.

Tetapi isunya bukan melanggar SOP itu jenayah atau tidak sangat. Isunya adalah kita orang Melayu Johor sedang dendam memikirkan tentang adat datar.

Bukan apa, ada orang Johor memang bermenantu atau berbesankan orang Negeri Sembilan. Jadi bangsa Johor kesipuan malu sebab ada perangai Johorean singgung tabrak SOP kemudian buat macam tak rasa apa.

Dalam kalangan orang Negeri Sembilan ada adat datar. Apa itu adat datar?

Adat datar itu bermaksud; ‘undang-undang tidak membezakan sesiapa, semuanya sama, sesiapa yang sabit kesalahannya akan dihukum sejajar dengan kesalahan yang dilakukan.’

Adat datar ini datang sekali dengan adat datar pusaka satu. Apa pula adat datar pusaka satu ini? Ia membawa makna; ‘sesuatu kesalahan itu, walau di mana kesalahan berlaku tanpa mengira siapa melakukannya hukumannya sama sahaja.’ 

Tapi hari ini kita nampak macam tidak sama. Di Pulau Pinang, kalau Bangladeshi atau Rohingya yang langgar SOP maka eloklah diserbu. Manakala kalau Johorean yang kaki vape, dibiarkan lepas begitu.

Sebenarnya ada sebab saya mengingatkan perihal adat datar pusaka satu dan adat datar ini. Perihal tazkirah ini kerana Menteri Kesihatan kita orang Rembau, dari Negeri Sembilan. 

Orang Negeri Sembilan percaya kepada adat lalu di tengah terang yang bermaksud ‘keputusan atau tindakan yang telus’. Buek malu oghang Ghombau.

Orang Negeri Sembilan ini amnya orang adat. Aib dan jelak betul orang Negeri Sembilan kepada orang yang tidak reti menjaga adat. 

Saya tidak tahu Khairy ini orang Minang atau bukan. Tapi kalau bukan Minang pun cukuplah untuk rasa malu dan jeran kerana orang Negeri Sembilan ada perbilangan perihal rule of law ini, iaitu adat. 

Untuk menegaskan peri pentingnya rule of law, orang Minang sebutkan: Biar mati anak, jangan mati adat.

Atau dalam konteks sekarang, ‘Biarlah tak tall dark and handsome pun; tapi jangan langgar SOP.’

Punya penting adat dan begitu transparen lagi menyanjung adat, orang Negeri Sembilan buat perbilangan ‘siang menjadi tungkat; malam menjadi selimut’ yang membawa pengertian adat itu paling tinggi dan bukan diubah-ubah ikut selera kalau menimpa batang sendiri.

Etnik Minang adalah sebahagian daripada bangsa atau suku besar Melayu. 

Mereka mendiami hampir keseluruhan kawasan Sumatera Barat. Kenyataan ini tidak tersangkal lagi dan diterima pakai sejak dahulu. 

Dalam erti kata lain, dalam paling-paling Melayu, orang Minanglah terpaling Melayu dan Islam. 

Budaya Melayu Minang memiliki keistimewaan tersendiri. Adat Minangkabau ini dirujuk sebagai satu kaedah sosial yang dijadikan norma-norma untuk mengatur tata nilai dan struktur masyarakat. 

Kalau kita memberi perhatian kepada Adat orang Negeri Sembilan ini, ia memang memberi penekanan kepada tingkah laku. 

Mana-mana tingkah laku yang sumbang dan salah diberikan teguran khusus dan dipantau. Ini menunjukkan orang atau kaum Negeri Sembilan sangat mementingkan nilai dalam hidup mereka. 

Nilai-nilai ini pula adalah; bersumberkan pertama, agama Islam; kedua, alam yang disifatkan sebagai guru sedia ada. 

Ekoran dari pengajaran alam itu masyarakat Minang juga mengamalkan budaya matrilineal, di mana ibu menjadi sentral dan keutamaan dalam komuniti. 

Fenomena alam di wilayah Minangkabau menyediakan latar pepatah, peribahasa dan juga bidalan yang dijadikan panduan dan kerangka dalam kehidupan masyarakat. 

Adat Minangkabau meletakkan tujuan asasnya supaya masyarakat dapat mengecap ‘adil dalam kemakmuran’ dan ‘makmur dalam keadilan’.

Sebab sangat mementingkan keadilan, orang Negeri Sembilan selalu menegaskan yang “adat basandi syarak, syarak basandi kitabullah”. Yang mana menurut adat perpatih, kunci kebahagiaan hidup dan keelokan dalam pentadbiran adalah “from all, by all and for all”.

Ini sebab, rule of law sangat mustahak dalam kalangan orang Negeri Sembilan. Orang Minang itu asasnya masyarakat niaga. 

Sebagai orang Islam yang menekankan adat, orang Minang menjiwai ajaran Islam dengan pendekatan adat bersendi syarak, dan syarak bersendi kitabullah. 

Harus diingatkan, kitabullah dalam hal ini merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Justeru ia bukanlah aspek legalistik fikah semata-mata. 

Ini juga bermakna orang Minang adalah umat Islam yang menseimbangkan adat dengan Islam berinspirasi al-Quran (kitabullah), atau ‘Qur’anic inspired Islam’. 

Saya betul-betul tidak tahu Menteri Kesihatan itu betul-betul Minang, atau sengaja-sengaja selama ini beberapa penggal menempel kerusi Rembau. Kata orang Minang, perahu berpangkalan, dagang bertempat. 

Juga saya tidak tahu kenapa sampai tokoh kanan politik kaki vape ini boleh melanggar SOP dan diberi hukuman yang ringan sekali.

Ia sama sekali menyalahi semangat adat Minang, iaitu orang Melayu yang paling asli. 

Kalau hendak mendakwa diri Melayu-Islam eloklah betul-betul beramal dengan Melayu-Islam. 

Orang Melayu-Islam itu betul-betul menjaga rule of law. Biar mati anak jangan mati adat. – 15 Februari, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen