Apa kata PM dari Borneo, TPM dari Semenanjung?


Faisal Tehrani

Selagi kita tidak melihat Sabah dan Sarawak setara maka selagi itulah mentaliti untuk maju jaya bersama-sama sebagai sebuah Persekutuan Malaysia tidak akan menunjukkan hasilnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2022.

KALAU betul Rishi Sunak menjadi perdana menteri United Kingdom yang baharu, maka tentulah ia sesuatu yang luar biasa kerana siapa menyangka sisa pusat empayar Inggeris itu nanti akan ditadbir oleh bangsa jajahannya.

Meskipun Rishi bukanlah sejenis manusia tertawan yang melawan, malah sebenarnya seorang hartawan yang berlebihan sehingga mengatasi jumlah kekayaan Raja Charles, pun, ia memberi isyarat yang melongokan. Tiada siapa menyangka dunia seterbalik ini.

Di Malaysia kita tidak akan melihat tentunya bangsa India atau Cina menjadi perdana menteri. Kita tidak akan tiba ke situ, mustahil ia akan terjadi. Puak Melayu konservatif akan berbaring di atas jalan raya menuju Istana Negara.

Akan tetapi paling sedikit ada yang kita boleh lakukan dengan saksama.

Minggu ini gabungan parti bertanding untuk PRU15 sedang saling berlumbaan menawarkan jawatan timbalan perdana menteri untuk Sabah dan Sarawak.

Cuma, tidakkah itu (sangat) menghinakan?

Adakah calon dari Sabah dan Sarawak sekadar layak berada di tempat kedua?

Pendedahan atau tawaran dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk mengisi jawatan timbalan perdana menteri dengan wajah Borneo sebetulnya bukanlah sesuatu yang memukau. Mereka silap jika mereka menyangkakan ia akan membuatkan peribumi Malaysia Timur melelehkan air liur berkeinginan.

Selagi kita tidak melihat Sabah dan Sarawak setara (bukan di tempat kedua) maka selagi itulah mentaliti untuk maju jaya bersama-sama sebagai sebuah Persekutuan Malaysia tidak akan menunjukkan hasilnya.

Malah meletakkan mereka di tangga kedua, atau ketiga hanya menjauhkan lagi Sabah dan Sarawak dari Semenanjung.

Selalu bila idea ini berapungan, kita akan diajukan soalan trivia seperti, “Baiklah kita boleh menerima seorang pemimpin utama (PM katakan) dari Sabah atau Sarawak, tetapi siapa?”

Nah, inilah yang saya katakan selagi kita tidak melihat Sabah dan Sarawak setara (bukan di tempat kedua) maka selagi itulah kita tidak dapat menjayakan Persekutuan Malaysia dengan berkesan.

Seorang pemimpin akan datang jika diberi kesempatan dan peluang, ini termasuklah dari Sabah dan Sarawak.

Seperti Nik Aziz

Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini ditolak dan ideanya dibuang oleh Parti Islam Semalaysia bagaikan sarap itu bermula sebagai seorang tokoh masyarakat setempat. Beliau kemudian meningkat naik menjadi wali politik dalam medan siasah tanahair.

Ketika 1970-an dan 1980-an nama beliau mungkin sudah kedengaran bersipongang di Kelantan akan tetapi bukanlah suatu kelaziman di luar negeri seamat miskin yang airnya berkarat itu.

Tatkala Nik Aziz Nik Mat masuk Dewan Rakyat pun dia belum disedari malah mungkin sering dipersendakan oleh dialek atau loghat Kelantannya itu. Akan tetapi apabila PAS memenangi Pilihan Raya Negeri Kelantan dalam 1990, Nik Aziz dilantik menjadi menteri besar, nama beliau melesat naik.

Tiba-tiba saja dialek Kelantannya kedengaran normal untuk mereka di Pantai Barat Semenanjung. Bukan sedikit pelajar sekolah agama bergaya menjadi seperti beliau, dan bercakap resmi almarhum.

Dalam tempoh sedekad kemudian Nik Aziz adalah kuasa politik yang menyatukan partinya. Beliau sering mengingatkan kelompok agamawan dalam PAS agar mengimbangi perangai serba tahu akhirat mereka dengan suara kelompok profesional yang dianggap serba tahu urusan dunia.

Dalil Nik Aziz mengimbangi kelompok Erdogan dan Erbakan dalam PAS. Nik Aziz membawa DAP misalnya sekereta dengan PAS menuju Putrajaya. Mereka sempat berumahtangga di Selangor misalnya.

Sehinggalah Nik Aziz wafat dan Haji Hadi mengambil alih parti itu, kita juga melihat PAS menggusur jatuh dari langit penuh bintang ke perlimbahan paling kumuh kotor dengan air lumpur dari boring.

Menjadikan atau mencorakkan seorang pemimpin muda dari Sabah dan Sarawak untuk terangkat sebagai pemimpin nasional harus menjadi nota dalam benak semua kita di Semenanjung.

Ini bukan kerana kita terikat dengan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), akan tetapi kerana kita memang harus bersedia melihat Borneo sebagai ahli keluarga atau serumah yang bermakna.

Kita mungkin terpekik-pekik sehingga sakit urat leher mengatakan seisi Malaysia adalah keluarga tetapi ironinya kita juga yang mengatakan, silalah berada di tempat kedua, dan ketiga.

Kita mungkin selalu-selalu menghujahkan anak India anak Cina anak Iban anak Kadazan itu setara dalam kempen ceramah pilihan raya kita, tetapi hakikatnya anak Iban dan anak Kadazan sering berada di tangga kedua.

Maka di mana dakwaan Bog Bog iaitu solidariti dan persahabatan kita?

Saya percaya jika BN mahupun PH ikhlas dengan Sabah dan Sarawak, tidak akan timbul sama sekali pemberian (bagaikan sedekah) jawatan kedua, iaitu timbalan perdana menteri kedua dan ketiga.

Kita di Semenanjung mesti membebaskan diri dari kurungan benak Sabah dan Sarawak dunia lain yang tidak berhubungan.

Mereka setara dan boleh serta berhak meminta. Malah jika Semenanjung akur dan memberikan Sabah atau Sarawak peluang memimpin mungkin sahaja kita akan dapat keluar dari kancah yang membelenggu kita lani.

Seorang PM dari Sabah dan Sarawak

Seorang PM dari Sabah dan Sarawak mungkin saja dapat menunjukkan kita bagaimana menyatukan aneka kaum dan kepercayaan di dalam sebuah rumah.

Seorang PM dari Sabah dan Sarawak mungkin sahaja dapat menunjukkan kita bagaimana tidak menunggang agama secara militan, jumud dan kadang-kala radikal.

Seorang PM dari Sabah dan Sarawak mungkin saja dapat menunjukkan kita bagaimana seharusnya pembahagian harta atau kek ekonomi negara ini dapat ditebar secara adil.

Seorang PM dari Sabah dan Sarawak mungkin saja dapat menunjukkan kita bagaimana meladeni minoriti dan migran dengan cara yang indah.

Seorang PM dari Sabah dan Sarawak mungkin saja dapat menunjukkan kita bagaimana mengkayakan budaya kerana mereka sangat meraikan kerencaman dan kerencahan seni hidup.

Seorang PM dari Sabah dan Sarawak mungkin saja dapat menunjukkan kita bagaimana memimpin, bila diberi peluang.

Mungkin saja kita di Semenanjung ini agak angkuh dan perasan kita saja yang berhak duduk di tempat pertama, jadi ya, kalau mahu jadi pimpinan persekutuan silakan di tempat kedua dan ketiga; sebagai timbalan perdana menteri II dan III dan IV. Alangkah lucunya!

Memang mustahil Malaysia memperolehi persis Rishi Sunak, seorang Hindu kaya sebagai PM. India-India dari estet di Bera atau yang terbenam di Sri Muda tidak usahlah berangan. Makanan kamu pun dieja tose, bukan tosai.

Lagipun siapa mahukan seorang lagi hartawan putar alam (kalau dia kaya seibarat Rishi) sebagai PM?

Tetapi sekejap; mengapa pula mustahil untuk seorang peribumi Borneo dari Sabah dan Sarawak untuk menjadi PM? Itulah dia.

Selagi kita tidak melihat Sabah dan Sarawak setara (bukan di tempat kedua) maka selagi itulah mentaliti untuk maju jaya bersama-sama sebagai sebuah Persekutuan Malaysia tidak akan menjadi kenyataan. – 25 Oktober, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen