Status quo dijangka kekal di 6 negeri esok, kata tinjauan


Ravin Palanisamy

Ilham Centre meramalkan tatus quo dijangka kekal di enam negeri selepas PRN yang berlangsung esok. – Gambar fail The Malaysian Insigt, 11 Ogos 2023.

PENTADBIRAN Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional berkemungkinan kekal berkuasa di negeri masing-masing selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, menurut tinjauan Ilham Center.

Tinjauan bebas itu meramalkan keputusan PRN esok akan kekal status quo di mana Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan diterajui PH-BN, manakala Kedah, Terengganu dan Kelantan dijangka kekal bersama PN.

“PH-BN mempertaruhkan prestasi cemerlang pentadbiran Kerajaan Negeri memberikan keyakinan terbesar mengapa pengundi di negeri ini masih yakin dengan PH-BN.

“Selain itu, undi asas yang dimiliki oleh PH terutama di kalangan pengundi bukan Melayu; Cina dan India kelihatan menjadi deposit tetap kepada gabungan parti ini. Sokongan bukan Melayu seakan tidak berganjak,” kata kumpulan pemikir itu dalam satu kenyataan hari ini.

Enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan PRN esok.

Menurut tinjauan itu, PN perlu mendapat sokongan lebih 70 peratus pengundi Melayu untuk berpeluang mentadbir memandangkan undi Cina dan India selamat bersama PH.

“PN berpeluang menambah kerusi di DUN bermajoriti Melayu namun tidak berupaya untuk mengambil alih kerajaan negeri,” katanya.

Tinjauan itu juga mendapati adalah mustahil untuk PN mematahkan kerjasama kukuh PH-BN di Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan sukar dicabar apabila dua blok PH dan BN bergabung. Di negeri ini, undi asas BN di kalangan pengundi Melayu terlalu besar.

“PH pula menguasai kawasan bercampur dan majoriti Cina.
Ditambah pula kekuatan PAS dan Bersatu di negeri ini tidak sekuat dan tersusun berbanding lima negeri lain.

“PN juga bermasalah untuk menampilkan poster boy untuk MB dan ini sedikit sebanyak memberi kesan untuk menarik pengundi di atas pagar kepada gabungan parti itu,” kata Ilham. – 11 Ogos 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen