Corak undian PRU15 tidak relevan untuk PRN, kata penyelidik


Ravin Palanisamy

Beberapa elemen mungkin mengubah corak pengundian pada PRN seperti pertambahan bilangan pengundi, dinamik pengundi baharu, peratusan keluar mengundi dan isu berbeza yang diketengahkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2023.

CORAK pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak boleh digunakan sebagai petunjuk bagi enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata pengarah firma penyelidikan.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar berkata terdapat beberapa elemen atau petunjuk yang boleh mengubah corak pengundian.

“Antara penunjuk pembolehubah yang boleh mempengaruhi corak pengundian ialah peningkatan dalam bilangan pengundi, dinamik pengundi baharu, peratusan keluar mengundi dan isu yang diketengahkan mungkin berbeza,” kata Hisommudin kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata pertambahan bilangan pengundi memainkan peranan penting dalam kemungkinan perubahan ubah corak pengundian.

“Dengan pendaftaran automatik sekarang, pengundi yang cukup umur akan secara automatik dimasukkan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Semasa PRU15, SPR menggunakan pendaftaran pilihan raya sehingga suku kedua 2022 iaitu sehingga Jun tahun lalu.

“Jika (SPR memohon) menggunakan pendaftaran automatik sehingga suku pertama 2023 untuk PRN, iaitu sehingga Mac tahun ini, maka pertambahan pengundi selama sembilan bulan perlu dilihat dengan teliti oleh parti yang bertanding.

“Ini kerana pertambahan bilangan pengundi baharu mungkin cukup ketara untuk mengubah keputusan bagi kawasan yang dimenangi sedikit,” kata Hisommudin.

Selain itu, tidak pasti pengaruh sentimen dan sikap pengundi baharu ini terutama selepas pembentukan kerajaan perpaduan, tambahnya.

Pada PRU15, terdapat sokongan “gelombang hijau” yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Gabungan yang terdiri daripada Bersatu pimpinan Muhyiddin, PAS dan Gerakan, memenangi 74 kerusi Parlimen dalam pilihan raya persekutuan pertamanya, menjadikan ia gabungan kedua terbesar di Dewan Rakyat selepas Pakatan Harapan (PH), yang memenangi 82 kerusi.

Barisan Nasional (BN) yang pernah mendominasi, terdiri daripada parti politik tertua dan terbesar di negara ini, Umno, mengalami kekalahan memalukan, dengan hanya meraih 30 kerusi. Umno menyumbang 26 daripadanya.

Ketiadaan parti politik atau gabungan yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan, ia membawa kepada Parlimen tergantung yang pertama di negara ini, mengakibatkan kebuntuan politik yang berlangsung selama seminggu.

Berikutan titah diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan perpaduan ditubuhkan oleh dua musuh lama PH dan BN untuk membentuk kerjasama politik.

Enam negeri - Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu - menolak untuk mengadakan PRN serentak dengan PRU15, dengan alasan musim banjir.

Faktor pengundi muda, peratus keluar mengundi dan isu semasa

Hisommudin berkata faktor kedua yang boleh mempengaruhi corak pengundian ialah dinamik pengundi muda.

Beliau mengklasifikasikan pengundi berusia antara 18 hingga 25 tahun sebagai kumpulan “sangat tidak menentu”.

“Menurut dapatan, mereka daripada segmen umur tersebut membuktikan mengundi berdasarkan trend dan gelombang yang berlaku semasa PRU lalu.

“Mereka tidak mempunyai pemahaman asas tentang isu dan parti (politik) seperti kumpulan umur yang lain,” katanya.

PRN bagi 6 negeri mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran dan ia dijangka mengadakan pilihan raya serentak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2023.

Menurut Hisommudin, peratusan keluar mengundi semasa PRN yang akan diadakan tidak lama lagi adalah faktor seterusnya yang boleh menjejaskan pilihan raya.

Beliau menjadikan PRN Johor sebagai contoh yang menyaksikan hanya 51% orang keluar mengundi.

“Dengan mengambil kira PRN akan datang tidak akan mengubah kerajaan persekutuan, (dan) pengundi biasanya kurang teruja untuk keluar mengundi seperti PRU.

“Pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina mengikut trend pada PRN sebelum ini, mencatat peratusan keluar mengundi yang rendah.

“Justeru, faktor ini banyak mempengaruhi keputusan yang mungkin berbeza dengan keputusan PRU15 lalu,” katanya.

Faktor lain yang boleh mempengaruhi corak pengundian ialah isu yang diketengahkan, kata Hisommudin.

Memandangkan kerajaan pusat tidak akan terjejas dengan keputusan PRN, Hisommudin berkata pilihan raya di enam negeri itu hanya akan menentukan parti atau gabungan mana yang mentadbir kesemua negeri ini.

Justeru, beliau berkata isu tempatan akan dimainkan untuk membangkitkan suasana.

“PRN ini hanya mahu mencari menteri besar dan ketua menteri, dan pentadbiran baharu di peringkat negeri.

“Dengan kata lain, isu peringkat negeri dan tempatan akan memainkan peranan penting dalam pertimbangan pengundi.

“Parti yang berkempen akan mengheret isu nasional untuk mempengaruhi pengundi, tetapi penilaian pengundi mungkin sebaliknya,” katanya.

Mengikut unjuran semasa, bahan kempen yang digerakkan oleh PN dengan naratif perkauman dan agama mungkin terhad kerana sekatan dikenakan oleh kerajaan, tambahnya.

Hisommudin juga berkata pemimpin PN yang didakwa di mahkamah dan parti utamanya Bersatu yang dibekukan akaun mereka mungkin mempunyai beberapa kesan kepada gabungan itu.

Hisommudin, yang berkhidmat sebagai setiausaha sulit kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail semasa pentadbiran PH pertama pada 2018, berkata malah parti dalam kerajaan perpaduan sekarang mempunyai isu tersendiri untuk meyakinkan pengundi Melayu.

“Sama juga keadaan PH, kerajaan perpaduan BN. Mereka masih bergelut untuk menyakinkan segmen Melayu yang memberi sokongan besar kepada PN pada PRU15.

“Dengan ini, PRN sekarang lebih kepada kedua-dua pihak cuba membuktikan parti Melayu mana yang disokong orang Melayu dalam pilihan raya kali ini.

“Kesannya, model ini akan digunakan dalam tempoh yang lama, malah sehingga PRU16,” katanya.

Tarikh untuk enam PRN masih belum diputuskan.

Minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata DUN akan dibubarkan pada 28 Jun.

DUN Selangor secara automatik akan dibubarkan pada 25 Jun, Kelantan (28 Jun), Terengganu (1 Julai), Negeri Sembilan (2 Julai) dan Kedah (4 Julai).

PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran. Kesemua enam negeri dijangka mengadakan pilihan raya serentak. – 13 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen