Kos sara hidup masih jadi isu utama, menurut tinjauan


Rata-rata responden berharap perdana menteri dan pasukannya dapat melakukan sesuatu untuk mengurangkan kos sara hidup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2023.

ISU ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi terus memberi kesan kepada rakyat, dedah tinjauan Ilham Centre.

“Majoriti responden berharap perdana menteri dan pasukannya dapat melakukan sesuatu untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Ini adalah peluang positif untuk perdana menteri dan kabinetnya kerana dasar kerajaan sudah bergerak ke arah usaha memperkukuh ekonomi,” kata Ilham Center dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menyatakan Naratif Ekonomi Madani, Dasar Tenaga Diperbaharui Negara dan Inisiatif Rahmah membawa pelbagai rancangan untuk mengurangkan isu kos sara hidup.

“Responden memuji kerajaan perpaduan atas usaha ini dan ini memberi ruang kepada kerajaan untuk meningkatkan sokongan dalam kalangan rakyat.”

Dalam tinjauan itu, 62% daripada responden berkata kerajaan mesti berusaha ke arah menurunkan kos sara hidup, diikuti dengan mewujudkan peluang pekerjaan (18%), memberi lebih banyak bantuan untuk orang ramai (10%), menambah pendapatan boleh guna (5%) dan membawa dalam lebih banyak pelaburan (5%).

Tinjauan itu dijalankan dari 11 Julai hingga 27 Julai, melibatkan 2,416 responden dari enam negeri yang akan keluar mengundi Sabtu ini.

Ilham Centre menegaskan dapatan itu tidak mencerminkan situasi di seluruh negara tetapi hanya terhad kepada enam negeri yang menghadapi pilihan raya. – 10 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen