Pulau Pinang dapat penarafan tinggi di kalangan negeri pilihan raya


Pulau Pinang menerima maklum balas yang baik daripada responden untuk dasar dan pentadbirannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2023.

PENTADBIRAN Pulau Pinang di bawah kerajaan Pakatan Harapan mencatatkan penarafan tertinggi dalam kalangan enam negeri yang akan menghadapi pilihan raya pada Sabtu.

Tinjauan Ilham Centre mendapati pentadbiran negeri menerima maklum balas yang baik daripada responden tinjauan untuk dasar dan pentadbirannya.

Pulau Pinang berada di bawah pentadbiran PH sejak 2008 dan yakin akan mengekalkannya pada pilihan raya negeri.

“Pengurusan melibatkan soal kebajikan, usaha membangunkan ekonomi, bekalan air bersih, pengurusan tanah dan perihal tadbir urus am mendapat 78% dan ke atas kadar penerimaan rakyat,” kata Ilham Centre dalam satu kenyataan. 

“Sebagai perbandingan, responden di Kelantan pula sekadar memberikan peratusan tidak lebih 60% dalam soal yang melibatkan tanggungjawab Kerajaan Negeri.”

Selepas Pulau Pinang, tahap kepuasan adalah diikuti oleh Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan terakhir Kelantan.

Tiga negeri pertama berada di bawah Pakatan Harapan manakala tiga negeri terakhir dengan Perikatan Nasional.

Tinjauan itu dijalankan dari 11 Julai hingga 27 Julai, melibatkan 2,416 responden dari enam negeri yang akan keluar mengundi Sabtu ini.

Ilham Centre menegaskan dapatan itu tidak mencerminkan situasi di seluruh negara tetapi hanya terhad kepada enam negeri yang menghadapi pilihan raya. – 10 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen