Penyokong BN sukar undi calon Pakatan kerana DAP, kata Ilham Centre


Ravin Palanisamy

Sekurang-kurangnya 27% ahli Umno dan penyokong Barisan Nasional menyatakan sukar untuk mereka memangkah logo Pakatan Harapan kerana faktor DAP, menurut tinjauan Ilham Center. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos 2023.

FAKTOR DAP berada dalam kerajaan perpaduan menyukarkan penyokong Barisan Nasional (BN) mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) esok, menurut tinjauan Ilham Center.

Menurut badan pemikir itu, faktor itu antara tiga angkubah utama yang mempengaruhi keputusan yang bakal diperolehi.

“Penyokong PH tidak mempunyai masalah untuk mereka memindahkan undi mereka di DUN yang ditandingi BN. 

“Sebaliknya pula berlaku di DUN PH bertanding. Ahli Umno atau penyokong BN kelihatan canggung untuk menyokong PH. 

“Dua puluh tujuh peratus (27%) dan ke atas menyatakan sukar untuk mereka memangkah logo PH kerana faktor DAP,” kata Ilham Center dalam laporan yang dikeluarkan hari ini.

PH dan BN bergabung membentuk kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu atas titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong Agong berikutan keputusan PRU15 menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada parti memperoleh sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Enam negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu – akan mengadakan PRN esok.

Tinjauan ini dijalankan dari 29 Julai sehingga 8 Ogos, melibatkan 2,304 responden di enam negeri di atas.

Selain itu kata Ilham Centre, keputusan PRN esok juga dipengaruhi peratusan keluar mengundi.

“Kebiasaannya pilihan raya peringkat negeri lebih rendah peratusan yang keluar berbanding pilihan raya umum.

“Faktor ini akan melihat pola atau sikap yang berbeza mengikut kaum dan suasana kempen yang berjalan. 

“Semakin panas suhu politik, ia akan memangkin jumlah keluar mengundi yang tinggi. Memandangkan keadaan semasa yang agak sederhana, ia menjurus kepada peratus yang rendah,” kata badan pemikir itu.

Faktor seterusnya, iaitu pola sokongan pengundi muda, turut memainkan menjadi faktor penentu keputusan PRN esok, tambah Ilham Centre. – 11 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen