PJD Link masih perlu persetujuan Selangor, kata Adun


Noel Achariam

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berkata Selangor masih perlu meluluskan projek PJD Link walaupun pemaju mengumumkan memperoleh pembiayaan sebanyak RM922 juta untuk projek berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

SELANGOR masih perlu meluluskan projek kontroversi Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) walaupun pemaju mengumumkan memperoleh pembiayaan sebanyak RM922 juta untuk projek berkenaan, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran kepada The Malaysian Insight.

Rajiv berkata mereka (pemaju) tidak menyatakan apa-apa tentang kelulusan kerajaan negeri.

“Tidak kira sama ada mereka mendapat wang (pembiayaan) atau mereka mempunyai kontraktor. Kelulusan tetap hak prerogatif kami.

“Ia tidak bermakna kami (kerajaan negeri) wajib meluluskan (projek),” kata Rajiv kepada The Malaysian Insight.

Pada Selasa PJD Link (M) Sdn Bhd berkata mereka memperoleh pembiayaan sebanyak RM922 juta sebagai sebahagian daripada pembiayaan projek yang diperlukannya untuk Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link Expressway).

Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link Amrish Hari Narayanan berkata ia kini boleh bergerak ke hadapan dengan baki fasa kewangan projeknya, yang termasuk menaikkan bahagian lebihan kos projek melalui pasaran sukuk.

“Keupayaan untuk membiayai projek itu adalah salah satu syarat duluan di bawah perjanjian konsesi selain mendapatkan kelulusan untuk laporan sosial (SIA), alam sekitar (EIA) dan kesan trafik (TIA),” katanya.

PJD Link ialah pemegang konsesi bagi cadangan PJD Link Expressway, iaitu lebuh raya berkembar dua lorong (empat lorong) sepanjang 25.4 km yang bermula selepas plaza tol NKVE di Lebuhraya SPRINT, Damansara. Ia berakhir di persimpangan lebuh raya Bukit Jalil.

Rajiv berkata laporan SIA, EIA, TIA masih dengan agensi masing-masing.

“Saya percaya laporan ini masih belum dibentangkan kepada kerajaan negeri ketika kali terakhir saya menyemak iaitu beberapa hari lalu,” katanya.

Laporan tersebut diserahkan kepada PLANMalaysia Selangor di ibu pejabatnya di Putrajaya dan Jabatan Alam Sekitar.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung mengulangi bahawa belum ada kelulusan (untuk lebuh raya) di peringkat negeri.

“Projek itu masih belum diluluskan.

“Kami percaya mereka boleh menggunakan perjanjian pemegang konsesi (untuk mendapatkan pembiayaan).

“Tanpa CA, saya tidak fikir mereka boleh mengumpul dana,” katanya. – 8 Jun, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen