AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran membidas Putrajaya kerana bersikap berdiam diri terhadap keresahan rakyat yang bimbang kemungkinan pelaksanaan semula sekatan Covid-19.
“Ia agak membingungkan saya kerana sekarang pun Kementerian Kesihatan tidak menyedari bahawa sekatan aktiviti sosial bermakna mengekang aktiviti ekonomi. Rakyat dan perniagaan kecil akhirnya keluar dari masalah itu selepas pelbagai PKP yang berpanjangan dengan nama berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Kerajaan hanya berdiam diri terhadap kebimbangan rakyat yang timbul daripada kenyataan samar seperti ini apabila jelas ada penyelesaian,” tambahnya.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan memberi amaran sekatan pergerakan dalam sektor sosial boleh diperkenalkan semula jika kes Covid-19 memenuhi hospital. Katanya peralihan Malaysia ke fasa endemik akan mengambil masa yang lama.
Rajiv berkata kementerian perlu bersedia untuk meningkatkan kapasiti hospital sekiranya berlaku lonjakan kes dan bukannya menyekat aktiviti sosial. Pemimpin DAP itu berkata kos untuk meningkatkan kapasiti hospital jauh lebih rendah daripada mengekang aktiviti ekonomi.
“Berapa lama kita akan berada di tahap yang sama? Peralatan, perubatan, kakitangan perubatan dan sukarelawan perlu bersiap sedia untuk memastikan kita dapat menyediakan hospital sementara yang mencukupi dalam masa singkat untuk menerima kes yang memerlukan rawatan hospital sekiranya berlaku lonjakan kes secara tiba-tiba,” katanya.
Beliau menambah bahawa kementerian perlu senaraikan pengamal perubatan untuk memberikan suntikan dos penggalak. Suntikan itu katanya, juga akan mengurangkan kemasukan ke hospital.
“Kos untuk memberi suntikan adalah sama tetapi prosesnya perlu dipertingkatkan dengan pantas dan memudahkan aksesnya kepada orang ramai,” katanya.
“Membenarkan hospital swasta untuk memberi suntikan dos penggalak boleh dijadikan pilihan bagi mereka yang sanggup membayarnya,” tambahnya.
Beliau berkata ini akan membolehkan penjimatan kos bagi kerajaan kerana mereka yang berkemampuan akan mendapatkannya menerusi swasta dan Putrajaya pula boleh memfokuskan kepada segmen tertentu.
“Perkhidmatan kesihatan awam yang mudah seperti ini perlu disediakan secepat mungkin bagi memastikan kita dapat mengurangkan kemasukan ke hospital. Sehingga kini adalah mustahil untuk ke Klinik Kesihatan bagi mendapatkan ujian PCR,” katanya.
“Kamu akan berfikir selepas 21 bulan, perkhidmatan mudah seperti ujian akan tersedia kepada sesiapa sahaja, namun sehingga kini, kamu hanya boleh melakukannya di kemudahan swasta.” – 23 November, 2021.
Komen