HARGA siling kit ujian kendiri Covid-19 yang ditetapkan pada RM19.90 berkuatkuasa Ahad ini masih tinggi bagi rakyat yang tidak berkemampuan, kata dua wakil rakyat DAP.
Meski menyambut baik usaha kerajaan mengawal harga kit ujian yang ketika ini dijual pada harga dari RM28 hingga RM40, Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata harga baharu yang diumum Putrajaya semalam masih tinggi bagi golongan berpendapatan rendah.
Rajiv mencadangkan supaya kit ujian kendiri Covid-19 dijual pada harga RM10 atau jauh lebih murah supaya ia tidak membebankan.
“Hasrat kerajaan menetapkan harga siling kit ujian kendiri disambut baik. Tetapi RM19.90 masih terlalu tinggi bagi keluarga berpendapatan rendah, terutamanya jika keluarga itu besar.
“Kerajaan perlu menetapkan supaya kit ujian air liur di pasaran dijual pada harga RM10 atau jauh lebih murah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan semalam umum harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri Covid-19 ditetapkan pada harga RM19.90, manakala harga borong RM16 berkuat kuasa Ahad ini.
Rajiv seterusnya mencadangkan kerajaan membeli kit ujian kendiri secara pukal dari pengilang supaya harga siling dapat diturunkan.
Kerajaan juga katanya boleh mengedar alat tersebut secara percuma seperti yang dilakukan Perkhidmatan Kesihatan Nasional United Kingdom.
“Farmasi juga tidak akan rugi dalam jangka panjang kerana kerajaan boleh memilih untuk mengedar atau menjual kita ujian melalui farmasi atau mekanisme lain.
“Pembelian juga perlu dibuat melalui tender terbuka. Jutaan pesanan secara tidak langsung membuka peluang kepada banyak pengeluar bersaing dan seterusnya akan menurunkan harga,” jelasnya.
Sementara itu, Lim dalam catatan di Facebook hari ini berkata harga siling yang ditetapkan kerajaan itu mungkin kecil bagi golongan T20 dan M40, tetapi masih tinggi bagi rakyat B40.
Senada dengan Rajiv, ahli Parlimen Kepong itu berkata kerajaan sepatutnya mencontohi United Kingdom (UK) dengan memberinya secara percuma kepada rakyat.
“Di UK, ‘test kit’ ini percuma sebab mereka sedar yang semakin banyak sektor ekonomi dibuka, perlunya mereka budayakan ujian saringan kendiri.
“Kalau kerajaan boleh beli vaksin untuk semua orang di Malaysia, sudah tentu kerajaan boleh subsidikan ‘test kit’ kendiri untuk semua orang di Malaysia.
“Lagi-lagi kilang-kilang pun masih beroperasi, sudah tentunya pekerja-pekerja kilang perlu beli selalu untuk pastikan mereka bebas Covid-19,” tulisnya. – 3 September, 2021.
Komen