LALUAN denai sungai sepanjang 10,000km yang dijanjikan di Selangor tidak kelihatan walaupun kerja pembinaannya telah dimulakan dua tahun lalu, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.
Daripada 10,000km laluan denai sungai di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), hanya 7.55km telah dibina.
“Ini adalah sedikit berbanding sasaran tahunan mereka 1000km,” kata Rajiv dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Januari tahun lalu, Ketua Setiausaha KASA, Zaini Ujang berkata program denai nasional itu akan menyaksikan kementerian bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti rizab sungai yang sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi dengan pembinaan denai dan aktiviti pengindahan sungai.
Beliau berkata program itu bermula pada 2020 dan 42 denai telah dibina, meliputi kira-kira 210 kilometer, menjadikan tebing sungai sebagai kawasan rekreasi.
Kementerian itu menyasarkan untuk membina denai sejauh 10,000km menjelang 2030, pada kadar 1,000km setahun.
“Denai sungai amat diperlukan dan dihargai di Selangor, terutama di Lembah Klang, kerana keupayaannya berfungsi sebagai rekreasi kepada kawasan berpenduduk padat melebihi lapan juta orang.
“Orang ramai seharusnya dapat menikmati aktiviti berjalan kaki, berjoging dan berbasikal di sepanjang sungai kita, dan apa yang lebih baik daripada membina denai sungai ini di Selangor yang mana berjuta-juta penduduk dapat menikmatinya,” katanya.
Denai sungai baharu itu juga akan membantu menghalang individu daripada membuang sampah ke dalam sungai dan menceroboh di tebing sungai untuk menjalankan perniagaan haram, kata Rajiv.
Laluan denai sungai sepanjang 10,000km sudah pasti langkah yang baik untuk negara. Ia perlu dilaksanakan. Tetapi ia perlu dilaksanakan secara adil.
“Kerajaan persekutuan perlu mampu merancang projek secara objektif tanpa bermotifkan politik semasa menyampaikan perkhidmatan dan inisiatif kepada rakyat.
“Saya menggesa menteri, Tuan Ibrahim untuk melayan Selangor secara adil dalam inisiatif ini.” – 28 Mac, 2022.
Komen