Khidmat e-panggilan Kumpool kini di Petaling Jaya


Noel Achariam

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berkata van e-panggilan Kumpool menawarkan tambang serendah RM1 bagi meringankan beban orang ramai di sekitar Petaling Jaya. – Gambar The Malaysian Insight, 19 April, 2022.

PERKHIDMATAN van e-panggilan Kumpool yang beroperasi di sekitar kawasan Bukit Gasing di Petaling Jaya menyediakan pengangkutan dengan tambang serendah RM1 bagi meringankan beban orang ramai.

Kumpool yang dilancarkan minggu lalu menawarkan tambang percuma kepada 10,000 penumpang pertama yang memuat turun aplikasi di Apple App Store dan Google Play, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.

Beliau yang bekerjasama dengan syarikat pengendali Kumpool, Handal Ceria Sdn Bhd (Causeway Link), berkata perkhidmatan van e-panggilan itu juga mampu menyelesaikan masalah ruang parkir di Petaling Jaya.

“Petaling Jaya memang sesak, sukar untuk cari kawasan parkir terutamanya pada waktu puncak.

“Jadi, kami berharap aplikasi ini akan mengurangkan isu kesesakan lalu lintas dan masalah parkir,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Rajiv berkata Kumpool meliputi kawasan dari Seksyen 1 hingga Seksyen 19 di Petaling Jaya.

Kawasan liputan Kumpool termasuk PJ Old Town, Digital Mall di Seksyen 14, Pasar Seksyen 17, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Jaya One dan kawasan lain.

Menurut Rajiv, perkhidmatan Kumpool beroperasi setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Tambahnya, perkhidmatan Kumpool akan diperluaskan dengan menambah lebih banyak van jika mendapat sambutan ramai.

“Aplikasi ini baru sahaja dilancarkan, jadi sukar untuk kita agak jumlah penumpang,” katanya. 

Perkhidmatan van e-panggilan Kumpool yang bermula di Johor Bahru kini boleh didapati di Subang Jaya dan Petaling Jaya. – 20 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen