B40 Bukit Gasing jumpa doktor dalam talian dengan hanya RM5


Noel Achariam

KERJASAMA antara Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dan sekumpulan doktor membolehkan golongan kurang berkemampuan mendapatkan khidmat kesihatan secara dalam talian dengan bayaran yang rendah ketika rakyat dibelenggu kos sara hidup yang tinggi.

Dengan aplikasi Doctor Anywhere sesi konsultasi dengan doktor kini boleh dilakukan dengan mudah dan cepat, selain menjimatkan wang.

Rajiv berkata golongan B40 di Bukit Gasing hanya perlu membayar RM5 bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut, manakala bayaran RM15 bagi penduduk lain.

Orang ramai katanya hanya perlu memuat turun aplikasi Doctor Anywhere dari Google Playstore atau Apple Store.

“Terdapat 50 doktor bersedia untuk membantu bermula dari jam 6 pagi hingga tengah malam setiap hari.

“Aplikasi ini akan memudahkan mereka yang mengalami masalah untuk mendapatkan rawatan di klinik,” kata Rajiv kepada The Malaysian Insight.

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran membantu golongan berpendapatan rendah yang dibelenggu kos sara hidup yang tinggi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Februari 2023.

Beliau juga berkata aplikasi dapat membantu bagi orang ramai yang sukar untuk ke klinik kerajaan yang terletak jauh dari rumah mereka dan tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta yang boleh menelan kos sehingga lebih RM70.

“Caj konsultasi dan ubat di klinik swasta lebih mahal, malah boleh mencecah hingga RM100.

“Ini adalah cabaran yang terpaksa dihadapi golongan berpendapatan rendah dalam masyarakat kita,” ujarnya.

Kata Rajiv lagi, program ini dilancarkan Rabu lalu di flat kos rendah Bistari di Seksyen 19 Petaling Jaya dan setakat ini sekitar 150 orang telahpun mendaftar.

Tambahnya, bayaran RM5 akan dikenakan hanya bagi individu yang disahkan tergolong dalam kumpulan B40 selepas disaring.

“Mereka tak perlu datang ke pejabat saya, cuma daftar sahaja secara online di lama Facebook saya. Di situ ada pautan untuk pendaftaran.”

Beliau menjelaskan, konsultasi melalui panggilan telefon akan mengurangkan kos ke klinik dan menjimatkan masa.

“Bagi mereka yang tiada kenderaan mungkin perlu berbelanja kira-kira RM30 untuk ke klinik kerajaan, dan terpaksa pula menghabiskan masa sekurang-kurangnya setengah hari,” katanya. – 17 Februari 2023. 

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen