94 maut dalam pertempuran Tajikistan-Kyrgyzstan


Penduduk menaiki van untuk dibawa keluar dari di wilayah sempadan selatan Batken, Kyrgyzstan dua hari lalu.– Gambar EPA, 19 September, 2022.

SEKURANG-kurangnya 94 orang terbunuh dalam pertempuran antara Tajikistan dan Kyrgyzstan minggu ini, dalam konflik keganasan terburuk yang pernah dialami dua negara itu sejak beberapa tahun lalu. 

Keadaan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian antara dua negara jiran Asia Tengah itu bagaimanapun dilaporkan reda petang Ahad, menurut pihak berkuasa Kyrgyztan.

Pertempuran kerap berlaku antara kedua-dua negara bekas Soviet terbabit kerana kira-kira separuh daripada sempadan sepanjang 970km itu masih perlu dihadkan.

Tajikistan semalam berkata seramai 35 rakyatnya terbunuh, angka kematian rasmi pertama sejak pertempuran bersenjata tercetus pada hari Rabu lepas.

Sementara itu di Facebook, Kementerian Luar Tajikistan juga melaporkan 25 rakyat negara itu cedera. Wanita dan kanak-kanak antara yang cedera, tambahnya.

Kementerian itu menuduh tentera Kyrgyz membunuh 12 orang dalam serangan dron ke atas sebuah masjid, enam maut dalam serangan ke atas sebuah sekolah, manakala tujuh lagi maut dalam serangan ke atas ambulans.

Dakwaan itu bagaimanapun belum dapat disahkan.

Dalam pada itu, Kyrgyzstan juga semalam melaporkan 59 rakyatnya terbunuh di wilayah sempadan selatan Batken, manakala 144 yang lain cedera.

Menurut beberapa pertubuhan bukan kerajaan puluhan ribu orang telah dipindahkan dari wilayah sempadan Kyrgyz itu sejak beberapa hari lalu.

Kementerian Perkhidmatan Kecemasan Kyrgyzstan pula memaklumkan seramai empat askar Kyrgyz dilaporkan hilang.

Kyrgyzstan mengisytiharkan 19 September sebagai perkabungan negara. – AFP, 19 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen