Menteri kesihatan Kyrgyzstan dipenjara kerana rasuah 


MENTERI kesihatan Kyrgyzstan yang mengesyorkan akar beracun sebagai rawatan untuk koronavirus dipenjarakan berikutan siasatan rasuah yang dikaitkan dengan pembelian vaksin Covid, kata pendakwa raya pada Jumaat.

Alymkadyr Beishenaliyev yang digelar “aconite” kerana mempromosikan larutan cecair buatan sendiri berdasarkan akar beracun, juga dikenali sebagai wolfsbane, untuk menyembuhkan koronavirus dan penyakit lain.

Pendakwa raya berkata Beishenaliyev terlibat dalam pembelian lebih daripada dua juta dos vaksin koronavirus atas keperluan negara, hasil daripadanya “dipindahkan ke akaun luar pesisir.”

Wang yang dihabiskan berjumlah 1.5 bilion soms ($19 juta, 17.5 juta euro), kata satu kenyataan.

Beishenaliyev turut menerima tekanan apabila timbalannya menggesa beliau dipecat dan menuduhnya membuli kakitangan kementerian, termasuk menggunakan ejekan seksual pada Mei lalu.

Beishenaliyev dilihat sebagai sekutu Presiden Sadyr Japarov—yang beliau kreditkan sebagai pencipta utama larutan aconite yang digunakan di hospital negeri.

Penahanannya mencetuskan spekulasi perbalahan dalam kerajaan. Beishenaliyev membuat penampilan awam bersama presiden pada pagi Khamis hanya beberapa jam sebelum penahanannya.

Rakaman video yang dikeluarkan oleh pihak pendakwa pada petang itu menunjukkan beberapa lelaki berpakaian seragam tentera memasuki kementerian kesihatan dan Beishenaliyev digari di pejabatnya.

Jurucakap pendakwa negeri memberitahu AFP pada Jumaat bahawa Beishenaliyev berada di penjara Jawatankuasa Keselamatan Negara Negeri dan sedang menunggu perbicaraan.

Beishenaliyev bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menuduh perkhidmatan keselamatan negara memberi tekanan kepadanya. – AFP, 3 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen