Pertempuran di sempadan Kyrgyz-Tajik memuncak


Askar Kyrgyz berkawal di Golovnoy di sempadan Kyrgyz-Tajik, 1,200 km dari Bishkek, Kyrgyzstan. – Gambar fail EPA, 16 September, 2022.

KYRGYZSTAN pada Jumaat menuduh Tajikistan meningkatkan pertempuran sempadan dengan membedil sebuah bandar yang menjadi pertikaian di sempadan kedua-dua negara, menimbulkan kebimbangan satu lagi konflik habis-habisan di Asia Tengah.

Russia menawarkan untuk menjadi orang tengah antara dua negara bekas Soviet itu, yang mana pertempuran baru-baru ini menyebabkan berpuluh-puluh cedera dan beberapa terbunuh, dan menggesa langkah “segera” untuk menghentikan pertempuran.

Pertempuran semakin memuncak ketika pemimpin kedua-dua negara menyertai sidang kemuncak serantau di Uzbekistan, dengan pemimpin Russia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping kedua-duanya turut hadir.

Pertempuran meletus pada Jumaat, kata pegawai Kyrgyz, dengan kedua-dua pihak menuduh pihak lain bertanggungjawab dan menggunakan senjata berat.

“Kawasan sekitar lapangan terbang Batken dan tapak di pinggir bandar diserang oleh sistem pelancar roket berbilang Tajik,” kata perkhidmatan pengawal sempadan Kyrgyzstan.

“Infrastruktur awam di bandar Batken musnah,” menurut satu kenyataan.

Ketua perikatan keselamatan yang diketuai oleh Moscow berkata pada Jumaat pegawai di kedua-dua ibu kota menyokong pelaksanaan gencatan senjata dan rundingan.

Bagaimanapun, perkhidmatan pengawal sempadan Kyrgyzstan berkata “pertempuran ganas berterusan di sepanjang perimeter sempadan Kyrgyz-Tajik di wilayah Batken”.

Ia menuduh Tajikistan menggunakan senjata berat, termasuk pelancar roket dan jet, tetapi berkata pasukannya menangkis serangan “menjadikan mustahil bagi mereka untuk menawan penempatan di Kyrgyzstan.”

Kementerian kesihatan berkata, 31 orang cedera dan kemudahan perubatan di wilayah sempadan Batken diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Ia merayu kepada penduduk wilayah sempadan untuk menderma darah. – AFP, 16 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen