DARURAT yang dikuat kuasa di Kyrgyzstan pada minggu lalu kemungkinan akan dilanjutkan di tengah-tengah rusuhan yang masih tercetus dan dijangka berterusan sehingga 21 Oktober, kata pejabat presiden pada Isnin.
Cadangan itu dikemukakan komandan Bishkek, Almazbek Orozaliev, demi untuk menstabilkan semula keadaan sosial dan politik selain desakan yang kuat daripada rakyat.
“Terdapat penurunan besar dalam jenayah dan kesalahan sejak darurat dikuatkuasakan,” lapor agensi berita Sputnik memetik jurucakap pejabat presiden.
Terdahulu pada Isnin, Presiden Sooronbay Jeenbekov mengadakan pertemuan dengan Orozaliev dan beberapa pegawai tertinggi tentera dan Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Janybek Kaparov.
Protes di negara itu meletus pada Isnin kerana membantah pilihan raya umum 4 Oktober lalu yang disifatkan pembangkang sebagai tidak adil.
Penunjuk perasaan menawan Rumah Putih dan bangunan majlis bandar raya Bishkek dan beberapa bangunan kerajaan lain selain menuntut pembebasan bekas presiden Almazbek Atambaev dan pegawai-pegawai lain.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya membatalkan keputusan pilihan raya, sementara beberapa pegawai tertinggi termasuk perdana menteri, Kubatbek Baronov, meletakkan jawatan. – Bernama, 12 Oktober, 2020.
Komen