RUSIA sedang berusaha secara aktif untuk “menormalkan” keadaan di Afghanistan, kata Presiden Vladimir Putin pada Selasa semasa lawatan ke negara jiran Tajikistan.
“Kami sedang buat apa-apa sahaja untuk menormalkan keadaan (di Afghanistan) dan kami cuba membina hubungan dengan kuasa politik yang mengawal keadaan,” kata Putin semasa perbincangan dengan Presiden Tajikistan, Emomali Rakhmon.
Bagaimanapun titik permulaan mereka ialah kumpulan etnik Afghanistan harus mengambil bahagian sepenuhnya dalam mentadbir negara, tambahnya, dalam komen yang disiarkan oleh media Rusia.
“Di sini, anda lebih tahu… apa yang perlu dilakukan untuk memastikan keadaan di rantau ini, di zon ini di mana kita mempunyai tanggungjawab bersama, menjadi stabil dan tidak mengancam sesiapa,” katanya kepada Rakhmon.
Ini lawatan pertama Putin ke luar negara sejak permulaan operasi ketenteraan Rusia di Ukraine pada 24 Februari.
Rusia mempunyai pangkalan tentera utama di Tajikistan, salah satu sekutunya di rantau ini.
Tajikistan sebagai sempadan sepanjang 1,200 kilometer dengan Afghanistan manakala tentera Tajik kerap bertembung dengan penyeludup dadah Afghanistan.
Selepas Taliban mengambil alih Afghanistan pada Ogos lalu, beberapa pemerhati bimbang Tajikistan, negara termiskin dari bekas negara Soviet, boleh menjadi tidak stabil.
Negara itu masih sangat bergantung kepada Rusia dari segi ekonomi. – AFP, 29 Jun, 2022.
Komen