DUA bekas presiden Panama, Ricardo Martinelli dan Juan Carlos Varela didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan syarikat gergasi pembinaan Odebrecht.
Ini selepas syarikat yang berpangkalan di Sao Palulo, Brazil itu mengesahkan ada memberi rasuah di Panama.
Kedua-dua individu tersebut yang memimpin Panama antara 2009 dan 2019, bagaimanapun tidak hadir pada sesi perbicaraan di mahkamah, hari ini.
Pendakwa raya ketika membacakan pertuduhan berkata, kedua-dua bekas pemimpin itu menggunakan syarikat hadapan dan akaun bank asing untuk menerima dana daripada Odebrecht antara 2008 dan 2014.
Kira-kira 50 individu lain terlibat dalam pertuduhan itu, termasuk beberapa bekas menteri, kata pendakwa raya.
Pada 2016, Odebrecht mengesahkan kepada mahkamah Brooklyn ada membayar lebih AS$788 juta sebagai rasuah kepada pegawai kerajaan dan parti politik, terutamanya di Amerika Latin untuk memenangi kontrak infrastruktur.
Syarikat itu mengaku membayar rasuah bernilai $59 juta di Panama sebagai pertukaran kontrak untuk membina kerja awam.
Pembinaan dua laluan transit aliran deras Panama, memperbesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Tocumen dan memajukan beberapa kawasan peranginan di Panama City adalah antara projek jutaan dolar Odebrecht di negara itu.
Menurut Pejabat Pendakwa Raya, syarikat itu membuat tuntutan berlebihan ke atas kerajaan Panama untuk beberapa projek.
Varela yang memimpin Panama dari 2014 hingga 2019 adalah individu pertama daripada dua bekas presiden yang dituduh.
Parti sayap kanannya, Panamenista pula dituduh menerima AS$10 juta daripada Odebrecht.
Bagaimanapun Varela menafikan pertuduhan itu.
Martinelli, presiden dari 2009-2014 dan ahli perniagaan yang berjaya, juga dituduh menerima wang secara haram daripada Odebrecht.
Menurut pendakwa raya, Martinelli “mengetahui dana yang tidak sah itu” malah beliau juga membentuk “struktur haram keseluruhan” untuk mengutip rasuah.
Dua anak lelaki Martinelli dipenjarakan di Amerika Syarikat selepas diekstradisi dari Guatemala, selepas mengaku bersalah menerima AS$28 juta daripada Odebrecht. – AFP, 17 September, 2022.
Komen