SERAMAI 32 warga Panama akan dibicarakan atas dakwaan rasuah berkait skandal “Kertas Panama” yang didedahkan pada 2016, menurut Jabatan Kehakiman negara itu.
Kesemua defendan didakwa melakukan jenayah pengubahan wang haram, kata jabatan itu dalam kenyataan semalam.
Perbicaraan akan berlangsung mulai 15 hingga 18 November.
Kebocoran 11.5 juta dokumen syarikat guaman di Panama, Mossack Fonseca, pada April 206 mendedahkan kegiatan mengelak cukai dan pengumpulan harta secara haram golongan elit di serata dunia.
Dokumen tersebut didedahkan Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).
ICIJ mendakwa sekurang-kurangnya 150 siasatan dibuka di lebih 70 negara susulan pendedahan Kertas Panama.
Perdana menteri Iceland Sigmundur David Gunnlaugsson dan perdana menteri Pakistan Nawaz Sharif meletak jawatan selepas pendedahan tersebut.
Jabatan Kehakiman Panama tidak menyebut sebarang nama, tetapi sumber memberitahu AFP pengasas Mossack Fonseca, Juergen Mossack dan Ramon Fonseca Mora, antara yang akan dibicarakan. – AFP, 26 Januari, 2022.
Komen