Mangsa nahas helikopter diselamatkan selepas hantar video SOS di media sosial


Keadaan Dimitri Flores yang terlibat nahas helikopter di hutan Panama. – Gambar Facebook, 12 Ogos, 2022.

ENAM individu berjaya diselamatkan dari tapak nahas helikopter di hutan Panama selepas seorang mangsa yang juga ahli politik negara itu menghantar mesej kecemasan di media sosial.

Pasukan penyelamat mula bertindak selepas Dimitri Flores menyiarkan video dalam talian merayu bantuan, mengerang kesakitan dengan serpihan helikopter di belakangnya.

“Kami mengalami kemalangan di sini,” Flores memberitahu kamera, merayu untuk misi menyelamat segera.

“Ada yang patah kaki, tangan. Kami berenam… kami masih hidup,” katanya.

Dalam video kemudian, Flores berkata mereka menunggu di lokasi nahas di kawasan hutan di barat daya Panama selama empat jam dan 20 minit.

“Ia adalah satu tugas besar untuk mengeluarkan mereka yang cedera,” kata Daniel Rodriguez, timbalan pesuruhjaya Perkhidmatan Aeronaval Kebangsaan Panama (Senan) pada Khamis.

Beliau berkata nahas berlaku pada pagi Rabu di kawasan pergunungan dan berhutan lebih 1,700 meter (lebih 5,500 kaki) dari paras laut.

Rodriguez berkata pihak berkuasa menerima panggilan kira-kira 11 pagi pada Rabu (1600 GMT) dan menyelamatkan kumpulan pertama sekitar jam 8 malam.

Dua daripadanya mengalami patah tulang.

Memandangkan keadaan yang sukar dimasuki, mangsa nahas terakhir dipindahkan sejurus sebelum tengah malam, kata Rodriguez. – AFP, 12 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen