Kerajaan Panama turun harga bahan api selepas rakyat marah


Setelah diasak dengan protes hampir seluruh negara, kerajaan Panama akhirnya akur dan menurunkan harga petrol dan beberapa barang penting lain. – Gambar EPA, 12 Julai, 2022.

PRESIDEN Panama mengumumkan penurunan harga petrol dan pembekuan kadar untuk beberapa produk penting lain pada Isnin dalam menghadapi bantahan berterusan terhadap inflasi dan rasuah.

“Saya faham ketidakpuasan hati pelbagai sektor terhadap situasi yang kita alami, disebabkan oleh kesan pandemik dan konflik di Ukraine,” kata Laurentino Cortizo dalam satu kenyataan.

Harga petrol untuk kenderaan persendirian akan diturunkan kepada AS$3.95 segelen mulai 15 Julai, katanya, turun 24 peratus berbanding akhir Jun.

Pengangkutan awam telah pun mendapat manfaat daripada harga yang lebih rendah sejak Mei.

Pada Isnin, ratusan membuat protes di Panama pada minggu kedua demonstrasi menentang kenaikan harga bahan api, yang telah meningkat 47 peratus sejak Januari.

Cortizo juga mengumumkan kerajaannya akan merangka dekri untuk membekukan harga sedozen produk makanan penting.

Beberapa kesatuan sekerja, bagaimanapun, berkata protes akan berterusan sehingga terdapat pengurangan umum dalam harga dan kadar petrol turun di bawah AS$3 setiap gelen.

Di wilayah barat Veraguas dan Chiriqui, berhampiran sempadan dengan Costa Rica, penunjuk perasaan menyekat Lebuh Raya Antara Amerika, yang menghubungkan negara itu ke seluruh Amerika Tengah.

Di Panama City, sekumpulan pelajar bertempur dengan polis di sekitar Universiti Panama, di mana sekumpulan orang merampas kereta peronda buat sementara waktu dan memecahkan tingkapnya.

Inflasi “bermakna semakin sedikit sahaja rakyat boleh hidup bermaruah,” kata Saul Mendez, setiausaha agung kesatuan pembinaan utama negara.

Menurut Mendez, untuk rakyat mendapatkan semula kuasa beli, harga ubat, makanan, elektrik dan bahan api mesti diturunkan atau dibekukan, selain kenaikan gaji am. – AFP, 12 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen