Anak bekas presiden Panama didakwa atas tuduhan rasuah


ANAK lelaki bekas presiden Panama Ricardo Martinelli didakwa di mahkamah Brooklyn, Amerika Syarikat (AS) semalam atas tuduhan rasuah membabitkan puluhan juta dolar.

Ricardo Alberto Martinelli Linares diekstradisi ke AS selepas ditangkap pada 2020. Perbicaraan semalam diadakan secara maya.

Peguamnya berkata tertuduh telah mengaku bersalah melalui rundingan dengan pihak pendakwaan dan akan membuat pengakuan di hadapan hakim semasa perbicaraan yang dijadual pada Selasa depan.

Pertuduhan ke atas Alberto dan adiknya Luis Enrique berkait siasatan terhadap syarikat pembinaan Brazil, Odebrecht. Dua beradik itu didakwa menyembunyikan jutaan dolar dalam akaun bank  luar pesisir.

Luis Enrique diekstradisi ke AS bulan lepas dan mengaku bersalah di mahkamah Eastern District, atas tuduhan bersubahat dengan abangnya membabitkan rasuah lebih AS28 juta daripada Odebrecht dari 2009 hingga 2014.

Siasatan ke atas Odebrecht memalitkan ramai pemimpin dan parti politik di Latin Amerika. Beberapa pegawai atasan Odebrecht mengaku bersalah di mahkamah atas kesalahan rasuah jutaan dolar sebagai pertukaran bagi mendapatkan kontrak kerajaan.

Malah bekas presiden, Martinelli, sendiri disiasat kerana terbabit dalam skandal Odebrecht. 

Pada 2016, Odebrecht dan sekutunya syarikat petrokimia Braskem setuju membayar denda AS$3.5 bilion selepas mengaku bersalah. – AFP, 12 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen