Kumpulan anjur protes skandal LCS Ahad ini


Ravin Palanisamy

Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS akan mengadakan protes mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS) pada Ahad ini, di Sogo, Kuala Lumpur. – Gambar Twitter, 11 Ogos, 2022.

SEBUAH kumpulan telah merancang protes jalanan Ahad ini di pusat bandar Kuala Lumpur bagi menuntut kerajaan bertanggungjawab berhubung skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Perhimpunan anjuran Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS mengemukakan tiga tuntutan, gesa Putrajaya tunaikan dengan segera.

“Tuntutan itu untuk menyiasat keberadaan kapal-kapal itu dan membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI); menggesa Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein meletak jawatan kerana gagal bertanggungjawab ke atas projek itu; dan tuntutan ketiga iaitu menggesa pihak berkaitan menjawab surat Panglima Tenter Laut Diraja Malaysia Abdul Aziz Jaafar,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan itu berkata, orang ramai berhak mendapat jawapan yang telus dan bertanggungjawab daripada kerajaan bagi memastikan tiada lagi penyalahgunaan wang pembayar cukai.

Mereka juga menyeru semua pemimpin parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan juga wakil masyarakat sivil menyertai protes itu.

Projek LCS itu merupakan perolehan terbesar dalam sejarah kementerian, dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporannya mengenai pembelian LCS daripada Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui rundingan terus.

Walaupun kerajaan telah membayar RM6.08 bilion untuk kos projek tersebut, namun tiada satu pun kapal yang dihantar.

Mengikut jadual asal, lima LCS sepatutnya dihantar kepada kementerian bulan ini.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata laporan siasatan jawatankuasa khas yang dibentuk oleh pentadbiran Pakatan Harapan bagi menyiasat perolehan LCS akan didedahkan kepada umum.

Kebenaran itu diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat mingguannya hari ini, kata perdana menteri.

Jemaah Menteri juga mencadangkan agar laporan audit forensik projek perolehan itu yang dijalankan pada 2019 dinyahklasifikasi, tertakluk nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara. – 11 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen