Skandal LCS, BNS beri kerjasama penuh


Sehingga kini tiada sebarang kapal LCS berjaya disiapkan BNS bagi projek untuk Tentera Laut itu. – Gambar EPA, 5 Ogos, 2022.

BOUSTEAD Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan semua langkah-langkah perlu bagi memastikan projek kapal tempur pesisir (LCS) siap demi kepentingan pertahanan negara.

BNS dalam kenyataan berkata pihaknya mengalu-alukan laporan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) berhubung projek itu.

“Kami menghargai penemuan serta saranan yang diberikan oleh PAC dalam laporan mereka dan kami menyokong sepenuhnya langkah pihak berkuasa yang mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang penyelewengan berkaitan pelaksanaan projek itu.

“Dalam tempoh semasa enam bulan mobilisasi, kami akan bekerja dengan gigih dalam libat urus dan berunding dengan pengeluar peralatan tulen (OEMs) dan vendor bagi memuktamadkan rancangan masa depan projek seperti yang dimahukan dan dikehendaki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” menurut kenyataan itu.

Menurutnya BNS juga bekerjasama dengan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk memastikan TLDM menerima LCS.

BNS juga berkata pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah program transformasi yang sedang dijalankan untuk mengukuhkan perniagaan dan operasi mereka di samping merekrut bakat-bakat baharu dan menyelaras sumber sedia ada,

“Kami juga telah meningkatkan penggunaan pendigitalan terutamanya dalam pengurusan projek untuk menghapuskan ketirisan, memastikan integriti dan ketelusan dalam melaksanakan mandat yang diberikan oleh kerajaan,” katanya. – Bernama, 5 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen