Kerajaan gagal menilai syarikat bina kapal tempur TLDM, kata PAC


PAC berkata kerajaan gagal mengesan masalah kewangan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd berhubung perolehan kapal tempur pesisir pantai TLDM. – Gambar Facebook, 4 Ogos, 2022.

PENILAIAN kerajaan ke atas Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) berhubung perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut, kata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuatkuasa ketika itu.

“Kedudukan kewangan syarikat BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan. 

“Setakat tahun 2018, hutang syarikat BNS kepada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) adalah sebanyak RM801 juta manakala pinjaman syarikat BNS dengan institusi kewangan adalah sebanyak RM956 juta,” kata PAC dalam kenyataan hari ini.

Menurut PAC, BNS telah telah melantik dua syarikat lain untuk membeli peralatan daripada OEM, menyebabkan kos pembelian bertambah berkali ganda. 

“Laporan Pengauditan Forensik mendapati peranan syarikat CAD dan CED dalam projek LCS amat meragukan,” katanya.

PAC hari ini membentangkan laporan berhubung perolehan kapal LCS oleh TLDM yang dilaksanakan oleh BNS.

Mengikut jadual asal, lima kapal LCS itu sepatutnya siap dibina dan diserahkan kepada TLDM pada Ogos ini.

Menurut PAC lagi, terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan kerana pembayaran projek LCS adalah berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

“Ini adalah luar biasa dan menyebabkan bayaran kemajuan LCS1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1% (bayaran sebanyak 63.8% berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7%).

“Sehingga kini, ‘detailed design’ masih belum lagi dimuktamadkan oleh kerajaan dan syarikat BNS. Hal ini menyebabkan Arahan Perubahan Kerja (VO) dikeluarkan secara berterusan dan membuka ruang untuk manipulasi berlaku,” katanya.

Seterusnya, kata PAC, BNS tidak menggunakan sepenuhnya pembayaran diterima daripada kerajaan untuk projek LCS, menyebabkan syarikat itu menghadapi  ‘cost overrun’ sebanyak RM1.4005 bilion dengan sejumlah RM400 juta daripadanya digunakan bagi menyelesaikan hutang lapuk projek lama New Generation Patrol Vessel (NGPV).

“Peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15 peratus telah pun usang (obsolete),” katanya.

Kerajaan menganugerahkan kontrak bernilai RM9 bilion kepada BNS bagi membina enam unit LCS. Mengikut rancangan asal, kapal pertama LCS sepatutnya siap pada 2018 untuk diserahkan kepada TLDM pada pertengahan 2019 manakala kapal terakhir diserahkan pada pertengahan 2023.

Januari lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan dua ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal LCS. – 4 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen