Laporan LCS bukan keputusan DAP saja, kata pengerusi PAC kepada Najib


Wong ketika mempengerusikan mesyuarat berkaitan skandal LCS minggu lalu. – Gambar PARLIMEN Malaysia, 7 Ogos, 2022.

LAPORAN berkaitan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bukan keputusan DAP seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri ke-6, Najib Razak.

Sebaliknya menurut Pengerusi PAC Wong Kah Woh ia merupakan keputusan yang dicapai bersama pelbagai parti politik termasuk kerajaan dan pembangkang.

Jelas Wong PAC dianggotai 14 ahli Parlimen di mana lapan daripadanya adalah wakil kerajaan termasuk tiga daripada Umno.

“Saya nak bagi tahu PM6 (perdana menteri ke-6), laporan PAC bukan laporan mana-mana parti. 14 orang ahli iaitu tiga Umno, tiga PPBM, dua DAP, dua PAS, seorang GPS, seorang PKR, seorang Amanah dan seorang Warisan.

“14 ahli Parlimen dari parti berlainan kami satu hati. Satu hati untuk pastikan wang rakyat adalah terjaga. Segala keputusan adalah secara konsensus.

“Kami independent, bukan macam dulu kerajaan di bawah PM6, ada isu Laporan 1MDB disunting Pengerusi PAC lantikan PM6 masa itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Semalam, Najib mempertikaikan laporan PAC itu susulan ia dipengerusikan wakil DAP sambil menyentuh bahawa beliau tidak dipanggil untuk memberi sebarang penjelasan berhubung skandal LCS.

Mengulas lanjut Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata kenyataan pengerusi PAC dibuat olehnya berdasarkan pendapat, rumusan dan syor yang dibentuk secara konsensus selepas siasatan selama dua tahun.

“PM6 kata kenyataan pengerusi PAC salah. Saya hendak beritahu kenyataan pengerusi PAC itu adalah berdasarkan pendapat, rumusan dan syor persetujuan secara konsensus PAC selepas hampir dua tahun siasatan isu ini. Bukan pandangan pengerusi PAC sendiri,” katanya.

Pada Khamis PAC mendedahkan bahawa pihaknya menjalankan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 dan yang terakhir pada 8 Mac lepas dengan memanggil beberapa saksi dan hasil prosiding itu mendapati kontrak projek LCS diberikan kepada syarikat BNS (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd) secara rundingan terus dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion namun tiada sebuah kapal LCS pun disiapkan setakat ini.

Mengikut jadual asal, sepatutnya lima kapal harus disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022. – 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen