Subkontraktor LCS caj Putrajaya berlebihan, kata Rafizi


Raevathi Supramaniam

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata perolehan LCS secara tiga lapis telah meningkatkan kos sebenar projek tersebut sebanyak tiga kali ganda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2022.

KERAJAAN Malaysia dikenakan caj berlebihan sebanyak tiga kali ganda kos sebenar oleh subkontraktor yang mengusahakan projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion, dakwa Rafizi Ramli.

Timbalan presiden PKR itu berkata ini bermakna pihak-pihak ini membuat komisen 200 peratus.

Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang bertanggungjawab ke atas projek LCS telah menganugerahkan Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) kontrak bernilai RM1.185 bilion pada 9 April 2012.

CAD kemudiannya melantik Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) sebagai subkontraktornya pada hari yang sama.

CED kemudiannya mengeluarkan Surat Lantikan (LOA) kepada pembuat kapal tentera laut Perancis Naval Group, yang sebelum ini dikenali sebagai DCNS.

“siasatan menunjukkan bahawa bagi dua pakej ini yang dimuktamadkan pada harga RM1.185 bilion dengan kerajaan Malaysia, LOA dari CED (sub-kontraktor lapis kedua) kepada DCNS meletakkan kos sebanyak RM397 juta sahaja,” kata Rafizi dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

“Maknanya, bagi kerja-kerja yang akan diinvois oleh DCNS kepada CED sebanyak RM397 juta, tuntutan dari sub-kontraktor CED dan CAD kepada Kerajaan Malaysia (melalui BNS) adalah tiga kali ganda lebih mahal.

“Persoalan utama: siapakah kepala jerung yang mempunyai kuasa mengarahkan dan melindungi pegawai-pegawai tertentu dalam BNS untuk melakukan rompakan di siang hari seperti ini?”

Rafizi dalam masa sama turut berkata sewajarnya Kerajaan Malaysia melantik DCNS secara terus, seperti yang dibuat semasa projek kapal selam Scorpene.

“Walaupun keputusan ini dijelaskan sebagai usaha untuk membantu veteran tentera (kerana BNS milik Boustead yang dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera, LTAT) dan membina kepakaran tempatan, tindakan melantik lagi dua lapis sub-kontraktor sebelum sampai kepada pembekal akhir, iaitu DCNS, membayangkan ada unsur-unsur penyelewengan dari awal,” katanya.

Rafizi juga berkata hujah Najib Razak dilihat lemah apabila cuba alihkan perhatian rakyat dengan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Beliau memberi gambaran seolah-olah semuanya bersabit kelemahan birokrasi akibat keputusan Pakatan Harapan menyiasat projek ini dan cuba menipu pengikutnya konon skandal ini tidak ada unsur rasuah langsung.

Pada Khamis, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada satu kapal pun dihantar kepada Tentera Laut Diraja Malaysia selepas kerajaan membayar BNS RM6 bilion.

PAC juga berkata terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan kerana pembayaran projek LCS adalah berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

Mengikut jadual asal, enam kapal sepatutnya dihantar pada bulan ini. – 9 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen