Skandal LCS RM9 bilion tanda BN, PN gagal, kata Pejuang


Sehingga kini tiada sebarang kapal LCS berjaya disiapkan BNS bagi projek untuk Tentera Laut itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2021.

PENDEDAHAN skandal perolehan RM9 bilion kapal tempur pesisir (LCS) bawah Kementerian Pertahanan menunjukkan kegagalan besar pentadbiran BN dan juga PN, kata Pejuang.

Timbalan presiden parti itu Marzuki Yahya berkata ia menunjukkan kerajaan baharu perlu mengambil alih pentadbiran gagal ini.

“Kecuaian daripada mana-mana pihak yang terlibat dalam masalah ini harus disiasat tanpa pilih kasih.

“Saya menyokong sepenuhnya apa jua cadangan untuk mencari punca kegagalan ini dan mencari jalan keluar agar rakyat tidak terbeban dengan masalah ini.”

Beliau juga mendesak agar syarat perjanjian projek perolehan kapal perang itu dikaji semula akan mematuhi prinsip akauntabiliti.

Isu tersebut didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersama Jabatan Audit Negara dan Laporan Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan.

Ia menemui masalah dalam segala perkara melibatkan projek bernilai RM9 bilion itu, bermula dari pelantikan kontraktor, reka bentuk kapal dan perbelanjaan untuk pelaksanaannya.

RM1.4 bilion didapati digunakan untuk tujuan lain dan bukannya untuk projek rundingan terus kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) itu.

Antara lain, ia mendapati RM400 juta digunakan untuk menyelesaikan hutang lapuk, RM305 juta untuk membina infrastruktur yang tidak berkaitan dan RM700 juta bagi pertambahan kos.

PAC mengesyorkan tujuh perkara untuk menyelesaikan kes itu, termasuk menyegerakan pendakwaan dan mendedahkan laporan sulit ke atas projek tersebut kepada umum.

Sehingga kini tiada sebarang kapal LCS berjaya disiapkan BNS bagi projek untuk Tentera Laut itu. – 5 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen