MUHYIDDIN Yassin mengajak pengundi berfikir sama ada mereka boleh mempercayai Barisan Nasional (BN) selepas pendedahan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Melalui satu hantaran di Facebook, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi adalah Menteri Pertahanan dari 2009 hingga 2013.
Bekas perdana menteri itu menyatakan bekas panglima TLDM Abdul Aziz Jaafar telah menulis 10 surat bantahan mengenai perkara itu, termasuk lima kepada Zahid.
“Bantahan ini walau bagaimanapun tidak diendahkan oleh menteri pertahanan.
“Inilah pemimpin BN yang akan mengetuai parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Jika inilah hakikatnya, adakah rakyat Malaysia akan mempercayai mantra yang akan dibawa oleh BN dalam PRU akan datang?” soalnya.
Muhyiddin turut menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk bagi menyiasat skandal tersebut.
Ahmad Zahid telah menyangkal dakwaan yang beliau terlibat dalam keputusan LCS.
Beliau berkata adalah tidak wajar untuk menyalahkannya atas kegagalan perolehan LCS kerana beliau bukan menteri pertahanan semasa projek itu diberikan.
“Jadi mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC,” katanya dipetik Umno Online.
Zahid yang merupakan menteri pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013 berkata, mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan projek itu perlu bertanggungjawab memberi penjelasan kepada PAC.
Tambahnya, kontrak yang diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) adalah mengikut garis panduan permohonan perolehan rundingan terus bertarikh 17 April 2002.
“Secara jelas ia tiada kaitan dengan saya, malah Lembaga Tabung Angkatan Tentera sendiri menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan LCS itu,” katanya
Dalam kenyataan berasingan, ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengingatkan pendedahan dokumen berkaitan projek kapal LCS mungkin menjejaskan rahsia negara.
Beliau berkata pihak kerajaan perlu menangani isu ini dengan lebih bijaksana dan telus supaya tidak tenggelam dengan pendapat umum.
“PAC seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan,” kata Zahid.
Bagaimanapun, kenyataannya itu dikritik hebat pengerusi PAC Wong Kah Woh yang berkata beliau tidak akan membenarkan sebarang laporan “disembunyikan” atas alasan keselamatan negara.
Wong berkata rakyat Malaysia tidak akan dihalang daripada mengetahui bagaimana kerajaan membelanjakan wang pembayar cukai, atas alasan itu.
“PAC bertanggungjawab untuk menyiasat urusan kerajaan dan semua prosiding akan direkodkan secara verbatim seperti dalam hansard Parlimen,” kata Wong dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua laporan PAC berdasarkan kepada kenyataan saksi yang disahkan.
“Oleh itu saya mendapati komen Ahmad Zahid Hamidi berkenaan bagaimana PAC patut lebih sensitif tentang isu LCS, agak membingungkan.”
Minggu lepas, PAC mengeluarkan laporannya mengenai pemerolehan LCS, menyatakan tiada satu pun daripada enam kapal LCS telah dihantar selepas kerajaan membayar RM6 bilion. – 9 Ogos, 2022.
Komen