Zahid nafi kaitan dengan kegagalan projek LCS


Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi pihak yang menyebabkan kelewatan itu perlu bertanggungjawab memberi penjelasan kepada PAC.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2022.

BEKAS timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah tidak wajar untuk menyalahkan beliau atas kegagalan kapal tempur pantai (LCS) kerana beliau bukan menteri pertahanan ketika projek itu dianugerahkan.

Zahid yang merupakan menteri pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013 berkata mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan itu perlu bertanggungjawab memberi penjelasan kepada PAC.

“Jadi mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC,” katanya memetik laporan Umno Online.

Tambahnya, kontrak yang diberikan kepada Boustead adalah mengikut garis panduan permohonan perolehan rundingan terus bertarikh 17 April 2002.

“Secara jelas ia tiada kaitan dengan saya, malah LTAT sendiri menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan LCS itu,” katanya.

Projek kapal tempur pesisir bernilai RM9 bilion yang dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dibelenggu dengan lebihan kos dan kelewatan, tanpa satu kapal pun dihantar setakat ini.

Dalam satu laporan, PAC berkata usaha wajar kerajaan terhadap BNS gagal mengesan kelemahan kewangan syarikat.

“Oleh itu, kerajaan terpaksa membayar yuran pendahuluan sebanyak RM1.36 bilion kepada BNS, yang bertentangan dengan protokol kerajaan,” kata PAC.

“Kewangan BNS yang lemah berpunca daripada penyalahgunaan kuasa dan salah urus. Sehingga 2018, BNS berhutang kepada syarikat pengeluar peralatan asal (OEM) RM801 juta dan RM956 juta lagi kepada bank.”

Menurut PAC, BNS telah melantik dua syarikat lain untuk mendapatkan peralatan daripada syarikat OEM, menyebabkan lebihan kos.

Mengikut jadual asal, lima kapal harus siap dan diserahkan pada bulan ini.

Semalam Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata mereka akan mengumumkan penemuannya dalam skandal LCS RM9 bilion tidak lama lagi.

Azam menambah bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Siasatan di peringkat akhir dan keputusan akan diumumkan tidak lama lagi. – 7 Ogos, 2022.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen