Kaedah pertanian moden boleh tingkat hasil, kata petani


Khoo Gek San

Lawrence Ting berkata sukar bagi petani untuk menggabungkan AI kerana kebanyakan ladang terletak di kawasan luar bandar dan petani kecil secara amnya tidak mempunyai modal atau kapasiti analisis data untuk berbuat demikian. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2022.

PUTRAJAYA perlu menolong petani melaksanakan kaedah pertanian moden bagi meningkatkan kecekapan dan menjamin keselamatan makanan, kata petani.

Bergantung hanya kepada petani kecil untuk melaksanakan amalan pertanian inovatif sendiri adalah tidak realistik, kata mereka.

Presiden Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia (FMFFA) Lawrence Ting berkata kaedah pertanian moden memerlukan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pengeluaran tanaman.

Ting berkata sukar bagi petani untuk menggabungkan AI kerana kebanyakan ladang terletak di kawasan luar bandar dan petani kecil secara amnya tidak mempunyai modal atau kapasiti analisis data untuk berbuat demikian.

Beliau berkata seperti di luar negara, kerajaan perlu mula mengumpul data daripada petani bagi memantau hasil kebun dan menggunakannya untuk membantu petani menambah hasil.

Kekurangan data ini bermakna kebanyakan petani masih bergantung kepada kaedah saintifik untuk menentukan hasil tuaian.

Kaedah pertanian moden juga bermaksud petani mampu mengeluarkan lebih banyak hasil dengan automasi, mengurangkan keperluan untuk buruh.

“Kami perlukan kerajaan sedia pangkalan data, termasuk sambungan internet, pantau hasil tuaian, corak cuaca, tumbuhan dan kualiti tanah bagi meningkatkan pengeluaran,” kata Ting.

Presiden Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia Lawrence Ting berkata selagi kerajaan terbuka untuk melaksanakan langkah-langkah ini, petani akan memberi kerjasama kerana ia memberi manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2022.

Dengan demikian, Ting berkata, bukan sahaja kerajaan akan dapat memantau pengeluaran, tetapi juga jumlah eksport.

Dari segi penerimaan, selagi kerajaan terbuka untuk melaksanakan langkah-langkah ini, petani akan memberi kerjasama kerana ia memberi manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang, katanya.

“Selepas pandemik Covid-19, konflik Rusia-Ukraine dan inflasi global, kerajaan harus sedar tentang krisis makanan yang kita hadapi.

“Mereka harus mula mengkaji pengeluaran makanan yang mampan, meningkatkan tanah untuk pertanian, menggunakan AI dan mengautomasikan industri.”

Modal tinggi, untung sikit

Lim Ser Kwee, presiden Persekutuan Persatuan Peladang Sayur-Sayuran berkata tidak semua tanaman sesuai untuk kaedah pertanian moden.

Sayur-sayuran yang murah, apabila dilaburkan dengan banyak, masih akan beri pulangan yang rendah.

“Bak choy, sawi dan timun berharga antara RM2 dan RM3, apa perlunya guna AI di sini?” kata Lim.

Ia lebih sesuai untuk pertanian organik dan penanaman rumah hijau, katanya.

Lim berkata sebuah syarikat Belanda telah melabur berjuta-juta di Cameron Highlands untuk melaksanakan kaedah ini dan setiap item dijual dengan harga lebih RM10, yang merupakan satu-satunya cara mereka boleh kaut untung.

Dengan penggunaan dron dan satelit, petani juga dapat memantau kesihatan tanaman dan berhati-hati terhadap perosak. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2022.

Walaupun amalan pertanian moden boleh membantu memantau cuaca, tanah, baja dan mengurangkan keperluan buruh, faktor manusia masih perlu ketika menuai, katanya.

“Menuai sayur-sayuran seperti kubis dan timun tidak boleh digantikan dengan mesin. Anda masih perlukan seseorang untuk periksa sama.”

Bagaimanapun, jika amalan sebegini boleh meningkatkan input dan output, Lim berkata petani sedia beri kerjasama.

“Kapasiti AI, perisian, rangkaian semuanya perlukan pelaburan. Jika kerajaan bina mereka, kami akan bekerjasama.”

Paling penting dalam pertanian moden ialah sambungan internet, yang membolehkan petani meningkatkan kecekapan. Penderia di atas tanah boleh membantu memantau kualiti tumbuhan, tanah dan corak cuaca.

Dengan penggunaan dron dan satelit, petani juga dapat memantau kesihatan tanaman dan berhati-hati terhadap perosak. – 10 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen